Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aksi Noh meludah tiada kaitan dengan bahan terlarang

Aksi penyanyi, Noh Salleh, meludah di pentas didakwa pengurus kumpulan Hujan sebagai tidak ada kena-mengena dengan pengambilan bahan terlarang.

Menurut Ahmad Ariffin Ahmad, Noh juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan seperti didakwa segelintir pihak.

Kenyataan itu dibuat susulan tularnya klip video memaparkan penyanyi Angin Kencang itu meludah sewaktu membuat persembahan kelmarin.

“Noh memang sober (waras). Dia tak ada ambil bahan terlarang.

"Hujan secara umum dikenali sebagai sebuah kumpulan yang cuba sedaya-upaya kekalkan imej bebas dadah dan alkohol," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, tular rakaman aksi Noh meludah ketika membuat persembahan di Konsert Hausboom Music di Taman Eskpo Pertanian (Maeps), Serdang.

Noh dan Hujan diberi tugasan mempersembahkan sembilan lagu di depan lebih 13,000 penonton yang hadir dan dalam suasana yang dikatakan sangat berbahang.

Aksi bekas suami Shazrina Azman atau Mizz Nina itu kemudian mengundang kecaman ramai yang menyifatkan perbuatan itu sebagai biadab.

Sesetengah pihak juga membuat spekulasi Noh ketika itu berada bawah pengaruh bahan terlarang hingga mengakibatkannya tidak dapat berfikir dengan waras.

Jauh untuk berpatah balik

Malah ada juga antara mereka yang memohon ujian air kencing dilakukan terhadap penyanyi berkenaan, selain menyuarakan rasa bimbang terhadap tahap kesihatan mentalnya selepas itu bercerai dengan Mizz Nina.

Ahmad Ariffin berkata, semasa persembahan kumpulan Hujan terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah teknikal dan keadaan itu tidak dapat dielakkan.

Dakwanya, Noh terpaksa meludah susulan mulut penyanyi itu berasa kebas kerana terkena sedikit renjatan elektrik dari mikrofon yang menyentuh wajahnya ketika dibasahi peluh.

“Sepatutnya Noh tampil dengan gitar, tapi disebabkan masalah teknikal yang tak dapat dielakkan, dia terpaksa menyanyi tanpa memetik gitar.

“Kebetulan, pada waktu tu, mikrofon dipegang Noh juga mengalami masalah. Apabila dia meletakkan mikrofon berhampiran mulutnya, dia terkena renjatan elektrik.

“Dia meludah kerana mulutnya berasa kebas di pentas bukan pada penonton. Terdapat jarak antara pentas dan penonton yang dipisahkan dengan besi penghadang,” jelasnya.

Menurut Ahmad Ariffin, tiada sebarang masalah teknikal sewaktu Hujan melakukan pemeriksaan bunyi dan raptai untuk Konsert Hausboom Music itu.

Pada masa sama, Ahmad Ariffin berkata, pihaknya memohon maaf sekiranya dalam kekalutan Noh menghiburkan peminat, ada antara penonton yang terkena air ludah penyanyi itu.

Menurutnya, perkara itu bukanlah dirancang mahupun gimik, sebaliknya insiden yang tidak dapat dielakkan.

“Kami mohon maaf kerana perkara (meludah) tu tak disengajakan. Terlalu jauh jika Noh nak berpatah ke belakang untuk beritahu ada masalah sebab waktu terhad sewaktu buat persembahan,” ujarnya.

Ditanya adakah perbuatan Noh secara tidak langsung menjejaskan konsert Hujan Rumah Kita yang dijadual berlangsung di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, pada 5 Nov ini, Ahmad Ariffin menyangkal tanggapan itu.

Ketika ini, katanya, penjualan tiket masih berlangsung dengan baik malah mereka yakin Hujan mempunyai masa untuk menangani atau mengenal pasti sebarang masalah teknikal terlebih awal.

“Ia adalah dua persembahan berbeza. Untuk Konsert Rumah Hujan Kita, band tu akan adakan persembahan selama dua setengah jam.

“Mereka akan persembahkan lebih 30 lagu. Dalam perkembangan terbaru, tiket juga sudah dikurangkan harga,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS