Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pertaruh Gerimis Mengundang, Kasyara enggan dibandingkan dengan Zamani Slam
Diterbitkan:  Oct 1, 2022 4:26 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Minat yang mendalam terhadap bidang muzik berjaya membawa penerbit serta komposer Indonesia iaitu Faizal Andri Lubis ke peringkat yang tidak pernah dijangka.

Malah penglibatannya bersama beberapa nama besar industri muzik Indonesia antaranya Tompi, Glenn Fredly dan Radja Band merupakan satu pengalaman yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

Lebih manis, Faizal sempat bersama sebahagian dari kumpulan Noah menggantikan David satu ketika dulu.

Dan kini Faizal memulakan langkah sebagai penerbit dengan mencungkil bakat bakat muda di Indonesia dan Malaysia.

Dalam perjalanan kerjayanya, Faizal berasakan dirinya bertuah apabila dipertemukan dengan seorang vokalis iaitu Kensen yang disifatkannya mempunyai kualiti vokal sebaik Aril daripada Noah Band.

Malah pada ketika itu, Kensen mula mendapat perhatian ramai apabila tular kerana kualiti vokalnya yang memukau perhatian ramai.

Bermula detik itu, Faizal dan Kensen mula bersatu hati dengan menubuhkan kumpulan Kasyara pada Ogos tahun lalu.

Kasyara juga melancarkan beberapa buah lagu di Indonesia yang mendapat sambutan memberangsangkan peminat muzik di negara itu.

Mula sedar akan karya mereka yang berjaya memukau peminat, Kasyara akhirnya mengambil keputusan untuk melebarkan sayap ke Malaysia dengan menampilkan karya agung dari komposer tempatan iaitu Saari Amri sebagai single terbaru mereka.

Kasyara memilih lagu Gerimis Mengundang nyanyian asal kumpulan Slam yang terkenal pada era 90an sebagai batu loncatan mereka di negara ini.

Malah, kekuatan Gerimis Mengundang merupakan satu karya yang turut terkenal di Indonesia satu ketika dahulu seakan memberi sinar harapan buat Kasyara.

Jelas Faizal selaku pemain keyboard Kasyara, Gerimis Mengundang versi mereka diberi sentuhan terbaru bagi penyesuaian pendengar tahun 2022.

“Ketika pertama kali menyanyikan Gerimis Mengundang versi ini, mengimbau segala memori ketika kecil semasa lagu ini hangat diputarkan kembali menjengah.

“Malah ia satu kenangan yang amat diperlukan dalam menyampaikan lagu yang sarat dengan lirik menyentuh emosi ini.

“Jadi saya amat berharap tidak terpalit dengan situasi dibandingkan dengan penyanyi asal seperti yang terjadi kepada penyanyi lain.

“Besar juga harapan saya agar peminat Malaysia dan Indonesia dapat menikmati susun atur Gerimis Mengundang nyanyian Kasyara,” katanya dalam satu kenyataan.

Kasyara melancarkan album pertama mereka yang bertajuk Diantara dan Lainnya secara digital yang menempatkan 11 lagu seperti Gerimis Mengundang, Hanya Sementara, Terbang, Dunia Pura-Pura, Cinta Tak Bicara, Ruang Hati dan Berbagi Langit.

Video muzik Gerimis Mengundang berada di saluran Youtube Fabis Incorporation bermula 1 Julai lalu dan mendapat komen positif daripada peminat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS