Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
FBI syukur, Jais luluskan tauliah mengajar
Diterbitkan:  Sep 30, 2022 4:15 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Penyampai radio, Faizal Ismail meluahkan perasaan syukur apabila permohonannya untuk mendapatkan tauliah mengajar akhirnya diluluskan Jabatan Agama Islam (Jais).

Faizal atau lebih mesra disapa FBI berkata, bukan mudah untuk melalui proses mendapatkan kelulusan tersebut.

“Terima berita di tanah suci. Syukur tak terhingga, selepas melalui dua proses penilaian secara teori dan lisan, permohonan tauliah Jais lulus.

“Namun, saya akui ia bukan satu proses yang mudah kerana kedua-dua penilaian mempunyai cabaran tinggi dan tanpa sebarang prejudis.

“Apa pun semuanya atas kehendak dan izin Allah SWT jua,” tulisnya di Instagram hari ini.

Pada hantaran tersebut, pemilik nama penuh Mohd Faizal Ismail itu turut berkongsi surat kelulusan bertarikh 28 September yang diterimanya buat peminat.

Tauliah mengajar itu berkuat kuasa pada 22 September lalu hingga 30 Jun 2025.

Untuk rekod, Faizal menjalani sesi temu duga Tauliah Mengajar dari Bahagian Pengurusan Dakwah Jais pada awal Ogos lalu.

Bagaimanapun, penyampai radio Zayan itu memaklumkan, tauliah yang diterima itu bukan untuk dia mengajar ilmu-ilmu agama.

Sebaliknya, kata Faizal, ia untuk kategori D4 iaitu motivasi pembangunan insan.

“Saya bukanlah mengajar ilmu-ilmu khusus dalam agama kerana saya juga masih perlu banyak belajar.

“Namun kategori motivasi seperti yang tertera di dalam surat ini akan memudahkan pergerakan saya untuk memenuhi hajat pihak yang mahu menjemput untuk sama-sama berkongsi manfaat,” jelasnya.

Pada akhir coretannya itu, Faizal memaklumkan, Jais menggalakkan lebih ramai yang mahu aktif dalam dunia dakwah untuk mendapatkan pentauliahan segera.

Katanya, ia bagi mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

“Jais turut menggalakkan supaya lebih ramai yang mahu aktif dalam dunia dakwah agar memohon pentauliahan supaya tak timbul perkara berbangkit di kemudian hari.

“Insya-Allah, semoga ini menjadi bukti sesiapa juga boleh memohon asalkan memenuhi syarat ditetapkan,” tuturnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS