Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Noraniza hentikan jualan tiket konsert sebab skim rumah murah

Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengakui penjualan tiket Konsert Malai Solo terjejas teruk ekoran namanya terpalit tuduhan bersekongkol skim projek penjualan perumahan.

Justeru, penyanyi itu berkata, dia terpaksa menunda konsert yang dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober di Istana Budaya tersebut.

“Isu yang tular mengakibatkan segala gerak kerja mempromosi konsert serta persediaan menjayakan impian saya terpaksa dihentikan serta-merta.

“Jika ada pihak nak marah syarikat pemaju, berurusan dengan mereka. Kami ni sebagai penerima wakaf saja.

“Saya hanya buat kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk bantu artis tidak berkemampuan untuk dapatkan rumah,” jelasnya.

Noraniza, 54, juga kecewa apabila usahanya untuk mengangkat Irama Malaysia terpaksa berdepan dugaan seberat itu terutama ketika saat tarikh konsertnya sudah semakin hampir.

Tambah penyanyi Hati Kama itu, sukar baginya untuk memperjuangkan irama Malaysia, sebuah genre yang bukanlah sentiasa digemari pendengar.

“Susah nak perjuangkan Irama Malaysia sebenarnya, kerana ia melawan arus. Sedang kami jalankan persiapan, tiba-tiba diganggu pula dengan isu sebegini.

“Dah lah Irama Malaysia terkapai-kapai nak diangkat. Memang susah menyanyi irama Malaysia. Dan belum apa-apa lagi, baru umum konsert, dah ada cakap-cakap belakang mengenai harga tiket yang mahal.

“Beli tiket konsert Justin Bieber boleh pula ribu-ribu. Konsert irama Malaysia tak macam konsert lain, perlu sekurang-kurang kos RM1.5 juta,” kongsinya.

Noraniza berkata demikian pada satu sidang media khas diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam.

Sidang media itu diadakan bertujuan membersihkan imejnya yang tercalar akibat tuduhan bersekongkol dengan sebuah syarikat hartanah untuk skim penipuan penjualan rumah.

Semalam, Malaysiakini melaporkan penyanyi itu menafikan dakwaan dia menjadi duta dan menyifatkan dirinya mangsa keadaan isu projek Skim Rumahku Syurgaku (RKSK) yang kini dihimpit kontroversi.

Untuk rekod, dia dilantik sebagai duta Pelancongan Seni dan Budaya serta pemegang amanah melalui skim yang disebut khidmat sosial amal jariah.

Katanya, dia tidak pernah memeterai sebarang kontrak bersama syarikat hartanah terbabit dan mengakui perjanjian itu hanya dibuat secara lisan.

Bagaimanapun, selepas mendesak syarikat terbabit memberi penjelasan berhubung konflik berbangkit, namanya terus ‘digugurkan’ daripada menjadi duta projek berkenaan.

Pada sidang sidang media berasingan sebelum ini, Noraniza mengumumkan dia menerima dana sebanyak RM3 juta daripada sebuah syarikat hartanah tempatan untuk Konsert Malai Solo berskalal besar anjuran NIPV Management Sdn Bhd itu.

Selain itu, Noraniza berkata, penundaan konsert berkenaan turut dipengaruhi beberapa faktor lain seperti PRU (Pilihan Raya Umum), ketiadaan pengarah muzik iaitu Ramli Mohd Saleh (Ramli MS), yang terlibat dalam Penjurian Program Televisyen Gegar Vaganza musim ke-9 dan faktor kesihatan serta kesuntukan masa latihan.

Mengulas lanjut, Noraniza berkata, pihaknya tidak menerima sebarang bayaran daripada syarikat hartanah berkenaan walaupun mereka mengumumkan untuk menjadi penaja konsertnya itu.

“Saya beri muka, sebab tu letakkan logo mereka. Tapi saya tegaskan, urusan konsert tak ada kena mengena dengan mereka.

“Kami ada penaja lain, namun hal tu tak perlu didedahkan buat masa ni,” kongsinya.

Walaupun berdepan kontroversi, Noraniza berkata, dia tidak pernah berputus asa untuk menganjurkan Konsert Malai Solo pada masa depan.

Susulan itu, katanya, dia tetap akan hadir dengan konsert berskala kecil pada penghujung tahun ini manakala yang berskala besar, dijangka diadakan tahun depan.

“Kami akan umumkan tarikh serta lokasi baru itu kelak,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS