Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penyanyi Gangsta's Paradise ditemui mati dalam bilik air
Diterbitkan:  Sep 29, 2022 2:32 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Penyanyi rap yang terkenal dengan lagu Gangsta’ Paradise, Coolio ditemui mati di dalam bilik air rumah rakannya di Los Angeles, semalam. Dia berusia 59 tahun.

Berita kematian pemenang Anugerah Grammy itu disahkan oleh pengurusnya, Jarel Pasey, hari ini.

Menurut Pasey, Coolio pergi ke rumah kawannya sebelum masuk ke bilik air untuk membuang air. Bagaimanapun, penyanyi itu tidak muncul selepas agak lama berada dalam tandas.

Kawannya itu kemudian menemui Coolio terbaring tidak sedarkan diri di atas lantai.

“Paramedik mengesahkan Coolio sudah meninggal dunia, dipercayai akibat serangan jantung,” katanya dipetik TMZ.

Siasatan polis pula tidak menjumpai sebarang barang terlarang, manakala bedah siasat akan dilakukan bagi mencari punca kematian Coolio.

Coolio mula aktif dalam muzik pada 1980-an, tetapi mengukuhkan kedudukannya dalam sejarah hip hop selepas merakam Gangsta's Paradise pada 1995.

Rasa macam tak percaya

Pemilik nama sebenar Artis Leon Ivey Jr itu memenangi Anugerah Grammy melalui Gangsta’s Paradise yang menjadi runut bunyi filem pecah panggung berjudul Dangerous Minds yang dibintangi aktres popular, Michelle Pfeiffer.

Lagu ‘berhantu’ itu terus didengari secara meluas dan baru saja melepasi satu bilion penstriman di Spotify, menurut laman web rasminya.

Sepanjang karier selama empat dekad, Coolio sempat merakam lapan album studio serta memenangi Anugerah Muzik Amerika dan tiga Anugerah Muzik Video MTV.

Lagu hits penyanyi itu yang lain termasuk Fantastic Voyage, Rollin' With My Homies, 1, 2, 3, 4 (Sumpin' New), dan Too Hot.

Coolio masih aktif hingga saat kematiannya. Mendiang mengadakan konsert jelajah bersama bintang rap 1990-an yang lain termasuk Vanilla Ice dan Young MC. Persembahan itu dibuat di Texas hanya beberapa hari lalu.

Beberapa selebriti terkenal hip hop AS seperti Vanilla Ice dan Ice Cube mengucapkan takziah atas pemergian Coolio.

Vanilla Ice berkata, dia seolah-olah tidak percaya dengan berita itu.

“Saya amat terkejut apabila mengetahui rakan baik saya, Coolio baru saja meninggal dunia,” ciap penyanyi itu di Twitter.

Ice Cube berkata, dia berpeluang menyaksikan bagaimana Coolio pertama kali mencipta nama dalam industri muzik.

“Ini berita amat menyedihkan. Saya menyaksikan bagaimana lelaki ini mengecapi kejayaannya,” kata pelakon dan rapper itu.

MC Hammer pula menyifatkan Coolio sebagai individu paling baik pernah dikenalinya.

“Mendiang seorang yang baik,” sambil mengiringi kenyataan itu dengan gambar hitam putih rapper berkenaan dan kemudian memuat naik imej kedua mereka bersama Tupac serta Snoop Dogg.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS