Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Padi Reborn adakan konsert sempena ulang tahun ke-25
Diterbitkan:  Sep 28, 2022 11:33 AM
Dikemaskini: 3:33 AM

Kumpulan popular Indonesia, Padi Reborn, bakal meraikan ulang tahun ke-25 mereka melalui Konsert 25 Tahun Padi Reborn di Kuala Lumpur pada 3 Dis ini.

Pengasas yang juga pemain gitar kumpulan itu, Piyu, berkata konsert berkenaan diadakan khusus bagi merayakan ulang tahun jubli perak bersama Sobatpadi - gelaran untuk peminat kumpulan itu - di sini.

“Ini adalah kesempatan yang mengujakan buat seluruh anggota Padi Reborn kerana akan merayakan perjalanan dan ulang tahun jubli perak kami yang ke-25 di Malaysia.

“Terima kasih kerana masih mahu berjalan harmoni dengan Padi Reborn lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum menggunakan nama Padi Reborn, lima karyawan seni itu memulakan langkah awal dalam dunia hiburan dengan nama Padi sekitar 1997.

Setahun kemudian, mereka menghasilkan album Lain Dunia yang memuatkan lagu Begitu Indah dan mendapat sambutan dengan lebih 800,000 unit terjual.

Ia menjadikan Padi sebagai antara kumpulan terbaik di Indonesia.

Pada 2001, Padi kembali dengan Sesuatu Yang Tertunda dan album tersebut terjual sebanyak 1.6 juta unit selain meraih 10 kali platinum pada 2002.

Pada 2003, Padi melancarkan album Save My Soul, diikuti album berjudul Padi pada 2005 dan Tak Hanya Diam pada 2007.

Kumpulan itu menyepi selama kira-kira tujuh tahun sebelum muncul kembali sebagai Padi Reborn.

Pada 2019, Padi Reborn melahirkan album Indera Keenam serta karya yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Qew Comm yang menganjurkan konsert tersebut, Rahizahwati Yahya, gembira apabila rancangan mereka membawa Padi Reborn ke negara ini berjaya menjadi kenyataan selepas seluruh dunia diancam pandemik Covid-19.

“Kami percaya dengan kembalinya Padi Reborn ke Malaysia ia akan memberi satu lagi justifikasi buat kumpulan ini menjadi penghibur yang tidak mati ditelan zaman,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS