Pelakon filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Adi Putra diangkat menjadi ikon Pemuda BN Selangor.
Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu juga menyatakan kesediaannya untuk melapangkan masa bagi membantu jentera Pemuda BN di negeri-negeri menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-15.
“Menerima kunjungan hero Mat Kilau pelakon tersohor yang juga merupakan sahabat saya Datuk Adi Putra.
“Banyak perkara dibincangkan termasuk cabaran mempelbagaikan pendekatan mencanai nilai patriotisme dikalangan anak-anak muda masa kini.
“Hikmah meletopnya filem Mat Kilau banyak membuka mata anak-anak muda untuk menelaah sejarah tanahair dengan penuh penghayatan,” katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Menurut Asyraf, Adi Putra tidak dapat bersama dalam Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN baru-baru ni kerana berada di Tanah Suci.
“Insya-Allah beliau bersedia lapangkan masa untuk bantu jentera Pemuda BN di negeri-negeri menjelang PRU-15 nanti,” ujarnya.
Adi, 41, adalah bintang utama yang menerajui filem diinspirasi daripada kisah pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajahan British, Mat Kilau Imam Rasu atau Mohamed Ibrahim.
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang berjaya meraih kutipan pecah panggung hampir RM100 juta mula ditayangkan di Netflix sejak 16 Sept lalu.
Filem itu mencetuskan kontroversi susulan pemaparan watak berbangsa Cina dan Sikh yang didakwa tidak selari dengan fakta sejarah.