ULASAN SENI | Berpeluang menonton pementasan dramatari Ratu Kuning Langkasuka yang kelmarin masih di peringkat raptai penuh, saya berasa terkilan dengan persepsi awal saya terhadap persembahan tersebut.
Saya skeptikal. Kenapa begitu?
Beberapa bulan lalu, saya menonton Jibaro, salah satu episod dalam siri ketiga rancangan Love Death + Robot yang disiarkan secara penstriman di Netflix.
Jibaro juga sebuah dramatari. Cuma bezanya, Jibaro dipaparkan pada skrin manakala Ratu Kuning Langkasuka dihidangkan secara langsung di atas pentas.
Namun Ratu Kuning Langkasuka dan Jibaro masih dipertemukan oleh satu titik yang sama, iaitu kisah pergulatan cinta duka. Walaupun dalam Jibaro tiada orang ketiga, inti pati utama kedua-dua dramatari berkenaan juga adalah sama.
Kedua-dua kisah berkenaan bercerita tentang kekeliruan, kekacauan dan kehancuran yang berpunca daripada sikap tamak serta kegagalan mengawal nafsu.
Saya benar-benar sukakan Jibaro. Kreativiti cerita, kedalaman maksud dan visual yang memikat mata, saya tidak lelah menontonnya, malah berasa gementar untuk melihatnya kali kedua kerana bimbang untuk mengalami perasaan yang sama.
Justeru, apabila mengetahui produksi Istana Budaya akan mengadakan sesi raptai penuh pada petang kelmarin, saya mencari peluang untuk menyaksikannya dengan bersedia dilengkapi soalan: Adakah Ratu Kuning Langkasuka indah khabar daripada rupa?
Dayang Norinah Datu Gastan sebagai Ratu Kuning, dia ialah seorang penari yang anggun di atas pentas.
Kekuatan dan kelembutan lenggok Dayang, saya yakin terhasil daripada pengalamannya yang pernah menjadi atlet sukan, penari dan kini koreografer di studio tari miliknya.
Beberapa adegan Ratu Kuning menari solo ketika menunjukkan rasa gembira menerima perkhabaran baik, ketika sedang berbahagia dengan Yang Dipertuan Muda Johor, malah projeksi kesedihan terhadap kedukaan Ratu Kuning - kesemuanya berjaya menyentuh hati saya.
Watak Yang Dipertuan Muda Johor dibawa Rudy De Luna Jr yang juga merupakan koreografer Istana Budaya. Dia menyajikan aspek maskulin seorang pemerintah dan pada masa yang sama, mampu memaparkan detik-detik lemahnya menjadi lelaki.
I love it!
Beri kesan mendalam
Namun, yang paling mencuri perhatian saya pada petang semalam ialah watak Dang Sirat versi muda dan cantik yang dipegang artis tari Istana Budaya, Nur Fariny Mohd Zokri, serta Suhailah Awang yang membawa watak Dang Sirat versi tua.
Keamatan (intensity) tarian Dang Sirat ketika ritual pemujaan ilmu hitam dan kegedikan tubuh badan sewaktu menari untuk menggoda Yang Dipertuan Muda Johor di depan Ratu Kuning begitu menjadi walaupun dilakukannya secara bersahaja.
Sepanjang pementasan itu, terdapat juga beberapa kekurangan yang melibatkan aturan pergerakan koreografi yang tidak sekata terutamanya melibatkan penari-penari lelaki.
Beberapa kali juga pencahayaan tidak mencapai kesan yang diperlukan, seolah-olah tidak memberi fokus kepada titik yang sepatutnya.
Namun, menolak tepi kekurangan-kekurangan kecil tersebut, para pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK), konduktor Mohd Yazid Zakaria yang juga pengarah muzik dramatari itu serta Dhia dan Helmi, yang lunak menyanyikan lagu baru ciptaan pemuzik Istana Budaya, Rosli Abu Bakar, bertajuk Nafas Cinta layak diberi pujian penuh.
Susunan lagu-lagu yang dibawakan secara langsung selama satu setengah jam dalam persembahan Ratu Kuning Langkasuka itu serta ketepatan tempo yang bergerak bersama langkah tari, memberikan kesan mendalam terhadap apa yang dilihat dan didengari.
Jujur untuk saya katakan, dramatari Ratu Kuning Langkasuka itu adalah antara pementasan yang paling mempersonakan pernah saya tonton secara langsung, selain persembahan tarian oleh kenalan saya yang bekerja sebagai wartawan The Star satu masa dahulu.
Hari ini, saya tidak lagi skeptikal dan mula berasa percaya. Saya berasa rugi pula jika tidak menceritakan pengalaman menonton dramatari berkenaan, dan kini memberanikan diri menulis walaupun tidak sebaik yang lain kerana sejak semalam, saya menginginkan orang lain turut merasakan keindahan yang saya rasai.
Ratu Kuning Langkasuka diarahkan oleh Shabera Shaik, penggiat teater tanah air dan berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan berlanjutan hingga esok (25 Sept) di Panggung Sari, Istana Budaya.
NURUL LATIFATULLALLIZA ANUAR ialah pembaca Malaysiakini.
Ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak langsung mewakili visi, misi dan peranan Istana Budaya, dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.