Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sera dedah hubungan dengan Shuk berakhir
Diterbitkan:  Sep 23, 2022 9:58 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Isteri kepada bekas penyampai radio dan pelawak kontroversi, Shuk Sahar iaitu Rossa Sera akhirnya mendedahkan hubungan mereka sebagai suami isteri sudah berakhir.

Perkara itu didedahkan oleh Sera melalui perkongsian di media sosial hari ini.

“Semoga Shuk jadi ayah yang terbaik walaupun kita sudah tidak bersama,” katanya.

Sera atau nama penuhnya Rossalennah Natassyiah Asshaferah juga berterima kasih atas usaha Shuk, 36, cuba memberikan kasih sayang yang terbaik buat kedua-dua anak mereka selama ini.

Justeru, walaupun sudah tidak bergelar suami isteri, Sera tetap berharap mereka dapat membesarkan Nur Qurratu Ain, 5 dan Nur Assyifatu Aimi, 2 tahun dengan baik.

“Sama-sama kita jaga hubungan untuk amanah ni ya. Terima kasih sentiasa cuba jadi ayah yang terbaik. Amanah yang menjadi bukti cinta kita dahulu. Kita besarkan mereka sama-sama tau,” ujarnya.

Video itu memaparkan kemesraan Shuk melayan anak-anaknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kapsyen bertulis: “Selamat pulang Shuk.”

Bagaimanapun, tiada penjelasan terperinci daripada Sera bila tarikh perceraian itu berlaku.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015.

Rumah tangga Shuk dan Sera sebelum ini dilapor berantakan apabila hadirnya orang ketiga.

Krisis rumah tangga yang dikatakan berpunca akibat kecurangan itu juga mengakibatkan Shuk atau nama sebenarnya Shukri Mohamed Sahar digantung tugas sebagai penyampai radio di Hot FM berkuatkuasa 18 Februari tahun lalu.

Pada November tahun lalu, Sera mendedahkan sudah tidak tinggal sebumbung selama sebulan dengan Shuk serta mereka dalam proses mendapatkan perceraian.

Pada Julai lalu, Shuk seolah-olah memberi bayangan bahawa rumah tangga mereka bakal menemui noktah apabila memuat naik sebuah klip video memaparkan kehadirannya di mahkamah.

Bagaimanapun, selama beberapa bulan, kedua-duanya baik Shuk mahupun Rossa lebih selesa mengunci mulut daripada berkongsi status rumah tangga mereka.

Sera terus mencetuskan spekulasi apabila memuat naik klip video dirakamnya yang memaparkan Shuk memeluk dua anak mereka sebelum berangkat menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.

Pada klip video sama dikongsikan hari ini, Sera turut berharap bekas suaminya itu memperoleh apa yang diinginkannya selama ini.

“Semoga awak dapat ketenangan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS