Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Bob Lokman pesan teruskan perniagaan makanan - Anak
Diterbitkan:  Sep 23, 2022 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Arwah bapa sentiasa berpesan agar meneruskan perniagaan makanan yang diusahakannya, demikian kongsi Omar Hakim anak kepada Mohd Hakim Lokman atau lebih dikenali Bob Lokman yang meninggal dunia hari ini.

Omar Hakim, 28, berkata selain seorang penulis lirik, pelakon dan pelawak, bapanya juga memiliki kemahiran memasak.

“Ayah mahir memasak nasi maqluba dan bubur daging (di Kelantan dipanggil bubur lambuk) selain juga mampu membuat serunding hasil resipi yang diambil dari Tumpat.

“Semasa hayatnya, arwah ayah beberapa kali berpesan kepada mama dan adik-adik yang lain supaya meneruskan usaha perniagaan menjual makanan selepas ketiadaannya nanti disebabkan Mama juga mahir memasak,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Sri Pulau, Kubang Kerian, di Kota Bharu hari ini.

Gambar fail.

Menurut Omar Hakim, mereka meneruskan perniagaan tersebut demi kelangsungan hidup memandangkan perlu membayar sewa rumah selain menyara lima adiknya yang masih bersekolah di tahfiz di Setiu, Terengganu dan Sriti Tok Guru di Pulau Melaka.

Bercerita lanjut, dia berkata selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2020, Bob Lokman mengambil keputusan pulang ke kampung halaman di Kubang Kerian untuk berada dekat dengan datuk mereka, Lokman Ahmad, 80-an yang sakit tua.

“Kesihatan arwah ayah mula merosot sejak seminggu lepas, namun beliau enggan mendapatkan rawatan di hospital walapun sudah beberapa kali dipujuk.

"Waktu maghrib semalam, arwah ayah mengalami sesak nafas dan keadaannya itu berterusan sehingga 11 pagi tadi menyebabkan saya dan mama berjaga hingga pagi.

Kekangan kewangan, hanya tiga hari di IJN

"Bagaimanapun disebabkan terlalu kepenatan, saya terlelap dan dikejutkan oleh mama yang memberitahu bahawa ayah sudah meninggal dunia," katanya.

Jenazah bapanya dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dimandi serta dikafankan manakala solat jenazah akan diadakan di Masjid Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian, katanya.

"Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir Kubang Kerian selepas solat Isyak," katanya.

Bob Lokman pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Dis 2020.

Pada 21 April lepas, Bob Lokman berpindah ke IJN untuk rawatan lanjut, namun akibat kekangan kewangan dialami, beliau hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar daripada hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April.

Bob Lokman yang meninggal dunia kira-kira 3 petang ini dipercayai akibat komplikasi jantung, meninggalkan seorang balu, Relawati Daud, 42, dan tujuh anak.

Allahyarham juga adalah penulis lirik beberapa lagu popular seperti Isabella dendangan kumpulan Search dan Taman Rashidah Utama nyanyian Wings.

Bob Lokman juga adalah cicit kepada seorang ulama terkenal di Kelantan, Allayarham Tok Kenali.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS