Demi perniagaan yang baru dimulakannya, pelakon Zul Ariffin mengambil keputusannya untuk berhijrah dan menetap di Mekah mulai Jan tahun depan.
Mendakwa sudah lama merancang perniagaan tersebut, Zul berkata, sudah sampai masanya untuk dia merealisasikan impian berkenaan.
“Disebabkan perniagaan bertapak di Mekah, jadi saya buat keputusan untuk berpindah ke sana untuk beri tumpuan penuh pada perniagaan yang baru bermula.
“Bukan setakat itu, saya juga akan ke beberapa negara lain lagi untuk mengembangkan perniagaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem terbaru lakonannya, Talbis Iblis.
Filem yang turut dijayakan Nasha Aziz dan Azira Shafinaz itu akan mula ditayangkan pada 20 Okt ini.
Bagaimanapun, kata Zul, walaupun akan menetap di Mekah, pada masa ada keperluan dia akan tetap boleh berulang-alik ke Malaysia demi kelangsungan kerjaya seninya.
Kata pelakon filem Penunggang Agama itu, memandangkan negara sedang mengalami peralihan ke fasa endemik dan aktiviti pawagam semakin berkembang pesat, rugi untuknya memperlahankan kerjaya sebagai pelakon.
“Saya kenalah imbangkan antara kerja di sana dan kerjaya seni di Malaysia.
“Rugi jika saya perlahankan karier lakonan. Lagipun ada banyak perancangan yang telah dibuat bersama pihak pengurusan di sini dengan situasi industri filem yang semakin rancak.
“Jika tak ada benda nak buat akan jadi tak produktif. Lebih baik penat kerana produktif daripada tidak,” katanya.