Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ifa Raziah tolak hadiah beg LV, pilih emas 'demi masa depan'

Selebriti sensasi, Ifa Raziah, menolak tawaran suami untuk membeli beg tangan mewah jenama Louis Vuitton (LV) sebagai hadiah ulang tahun kelahiran, sebaliknya di memilih emas bernilai RM100,010.

Kata penyanyi dangdut dan pelakon itu, dia membuat keputusan demikian kerana enggan menambah lagi koleksi beg tangan yang sudah terlalu banyak serta tidak membawa faedah.

Penyanyi Miss Diva itu menambah, adalah lebih bermanfaat jika dia dihadiahkan dengan emas kerana bahan itu tidak mengalami susut nilai pada masa depan.

“Mula-mula dia (suami) tanya saya nak LV lagikah tahun ni sebab saya peminat beg jenama tu. Walaupun ada jenama lebih mahal, suami tahu, saya tetap sukakan LV.

“Tapi kali ini saya fikir, apa gunanya ada beg tangan sampai penuh almari. Siapa tahu mungkin suatu hari saya tak akan jadi sesenang ni lagi.

“Jadi lebih baik saya beli sesuatu yang boleh dijadikan pelaburan macam rantai ni yang dibeli satu set,” kongsinya.

Pemilik nama penuh Saripah Raziah Mustapha itu menjelaskan, dia ingin berjinak-jinak dalam bidang pelaburan emas kerana faktor ekonomi yang tidak menentu terutama selepas dunia diserang Covid-19.

Atas alasan ekonomi semakin mencabar itu, kata Ifa Raziah, dia ingin bersiap sedia dengan ilmu pelaburan emas dan melakukannya mulai sekarang.

“Katakan suatu hari nanti berlaku kegawatan ekonomi dan inflasi, saya lega sebab saya dah sediakan bekalan (simpanan) dari awal selain mengumpul wang,” katanya.

Belajar sebelum buka kedai

Ifa Raziah berkata demikian pada sambutan majlis ulang tahunnya yang ke-46 di sebuah pusat karaoke di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, tular rakaman klip video Ifa Raziah membeli barang kemas bersama suaminya Mohd Yani Abdul Rahman di Ipoh. Perkongsian itu mengundang perhatian umum kerana nilai emas yang dibelinya mencecah harga lebih RM100,000.

Diminta mengulas tuduhan menunjuk-nunjuk, Ifa Raziah menjawab, dia hanya akan memakai aksesori mewah itu pada majlis tertentu saja.

Tambahnya, dia juga tidak akan memakai sebarang barang kemas bernilai tinggi bersendirian sebaliknya ditemani beberapa pengawal peribadi ke lokasi yang diingini.

“Ia bukan untuk kegunaan harian. Hanya dipakai ikut kesesuaian majlis misalnya seperti karnival yang saya anjurkan.

“Saya pakai pun ditemani empat hingga lima orang pengawal peribadi demi keselamatan. Apabila selesai majlis, saya akan buka dan simpan,” katanya.

Pada masa sama, Ifa Raziah meluahkan hasratnya untuk membuka perniagaan barangan kemas kerana minatnya terhadap bahan berharga tersebut.

Katanya, ketika ini, dia sedang mempelajari selok-belok dunia perniagaan kerana terinspirasi oleh kejayaan beberapa ahli perniagaan lain.

“Selepas melihat kejayaan usahawan seperti Nur Sajat Kamaruzzaman dan Hasmiza Othman atau Vida yang buka bisnes barangan kemas, ia membuatkan saya juga berminat untuk membukanya.

“Insya-Allah memang sudah ada dalam perancangan tapi nak buka kedai emas ini perlu belajar selok-beloknya terlebih dulu, insya-Allah jika tiada aral, kedai akan dibuka tahun depan,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS