Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Slank sambut 4 dekad dengan peminat di Malaysia
Diterbitkan:  Sep 22, 2022 8:47 PM
Dikemaskini: 12:47 PM

Kumpulan rock terkenal Indonesia, Slank bakal meraikan empat dekad pembabitan mereka dalam dunia seni melalui Konsert 4 Dekad Slank di Kuala Lumpur, pada 19 November ini.

Kumpulan dari seberang itu bakal diterbangkan khas oleh penganjur TBRW Global Sdn Bhd untuk bertemu dengan peminat setia sambil menyanyikan lagu kegemaran mereka bersama.

Wakil TBRW Global, Wan Norul Fadly dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berasa cukup terharu dan gembira dengan kesudian Slank untuk muncul di Malaysia selepas sekian lama tidak muncul di Kuala Lumpur.

“Kami ingin membawakan sebuah kumpulan yang sangat legenda dari seberang dan kami berasa sangat gembira untuk mengumumkan Konsert 4 Dekad Slank yang akan diadakan pada 19 November ini,” ujarnya hari ini.

Kumpulan Slank yang dianggotai oleh Kaka (vokal), Bimbim (dram), Abdee Negara (gitar), Ridho (gitar) dan Ivanka (bass) juga sangat teruja untuk bertemu para Slankers di Malaysia sambil membawakan lagu-lagu popular mereka pada malam konsert tersebut.

Untuk rekod, kumpulan Slank merupakan kumpulan rock berasal dari Jakarta. Kumpulan itu diasaskan pada 26 Disember 1983 oleh remaja yang bergelar Gang Potlot, dengan membawa muzik aliran rock.

Slank pernah muncul dengan album berjudul Suit-suit…Hehehe (Gadis Sexy) pada tahun 1990 diikuti dengan pelbagai album pada setiap tahun hinggalah album Vaksin Slank yang dilancarkan pada 1 Januari tahun lalu dengan tagline Suntikan cinta yang menyehatkan hati dan mencerdaskan akal. Vaksin Slank.

Dalam usia mencapai 40 tahun, Slank sudah mengeluarkan 24 buah album dan itu merupakan kunci kepada keberadaan mereka hingga kini.

Mengulas perkara itu, Kaka (gambar, atas) dalam sebuah temubual berkata kunci kepada keberadaan mereka selama 40 tahun dalam industri dan diterima oleh pelbagai generasi adalah kerana rutin mereka mengeluarkan karya baru.

Malah Bimbim yang merupakan pemini dram Slank menganggap bahawa pemuzik akan selalu diingati dan dilihat kerana karya mereka.

Pesan Bimbim lagi jangan berhenti berkarya kerana karya seniman sering ditunggu-tunggu.

“Jika berhenti berkarya, orang akan turut berhenti mengikuti,” katanya.

Kumpulan yang aktif dan bertenaga hingga sekarang itu juga pernah muncul dengan beberapa album runut bunyi seperti Get Married, Get Married 2 dan Generasi Biru The Movie.

Slank turut menyatakan rasa syukur kerana dari tahun 1990 hingga kini, mereka masih produktif dan tetap muncul dengan karya-karya baru.

Muzik Slank juga dianggap sebagai salah satu khazanah kebudayaan Indonesia.

Malah kumpulan itu juga pernah merangkul pelbagai anugerah antaranya empat kali memenangi Album Rock Terbaik di Anugerah Musik Indonesia serta memenangi Most Favorite Band di Anugerah MTV Indonesia dan pelbagai lagi.

Selepas menyepi kerana pandemik, akhirnya Slank muncul pada Mac tahun ini melalui persembahan pentas di Mandalika untuk mengubat kerinduan para Slankers.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS