Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Format baru GV9 buka ruang lebih ramai juara relevan - Fazley

Penyanyi Fazley Yaakob yakin usaha memperkenalkan format baru dalam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) bakal membawa perubahan positif pada program itu pada masa depan.

Fazley yang juga cef selebriti itu berkata, membuka ruang untuk penyanyi masih popular dan aktif untuk bersaing sama dijangka boleh menghasilkan lebih banyak juara versatil malah kekal relevan sepanjang zaman.

“Saya sangat setuju dengan format baru yang dilakukan. Saya sokong walaupun ramai tak bersetuju misalnya Shila Amzah atau Bob Yusof masuk sebab mereka masih aktif.

“Dengan format baru diperkenalkan itu, ia boleh mengubah landskap Gegar Vaganza (GV) itu sendiri.

“Justeru, bagi saya tak ada masalah dengan format baru kerana yang bertanding perlu berdepan genre berbeza daripada yang biasa dibawakan,” jelasnya yang pernah menyertai program realiti itu pada musim kelapan.

Pemilik nama penuh Ahmad Fadzli Yaakob itu juga berkata, dia mengagumi kebolehan peserta musim ini kerana mereka terdiri daripada pemilik vokal yang bagus-bagus.

Justeru, katanya, ia menambah keyakinan mengenai struktur baru itu yang diperkenalkan Astro selaku penerbit rancangan.

“Saya fikir 90 peratus daripada peserta GV9 boleh menyanyi dengan baik.

“Jangan pandang enteng dengan GV9 sebab ia bakal bawa perubahan yang ditunggu-tunggu,” katanya lagi.

Masing-masing ada kekuatan

Fazley, 44, ditemui pada majlis A Night with Starbucks and Fazley Yaakob di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Starbucks Malaysia bekerjasama sekali lagi dengan Fazley untuk memperkenalkan menu baru yang dipilih merangkumi elemen klasik digemari ramai dan makanan jalanan terkenal.

Menu baru itu dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos lalu. Ia bakal dilancarkan di pantai timur pada akhir tahun ini.

Ditanya sama ada format baru itu adil atau tidak buat penyanyi lama yang ingin kembali aktif, Fazley menjawab, GV bukan semata-mata untuk artis yang 'suam-suam kuku' saja.

Sebaliknya, kata Fazley, semua golongan artis boleh bersaing di pentas sama kerana ia sebuah pertandingan.

“Platform ni adalah pertandingan, tak semesti suam-suam kuku atau sedang hebat tak boleh naik pentas sama.

“Nama pun pertandingan, yang mana lebih hebat akan bawa pulang gelaran juara jika vokal mereka hebat. Masing-masing ada kekuatan tersendiri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS