Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosial kepada 7,000 kru produksi dan tenaga kerja belakang tabir industri perfileman negara.
Menerusi MoU itu kedua-dua organisasi bekerjasama bagi memastikan ahli Profima yang berdaftar seperti penerbit, pelakon, jurukamera dan juruvideo yang bekerja sendiri, mendaftar serta mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.
Perkeso diwakili Ketua Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, manakala Profima oleh Presidennya Mohd Khalil Saleh dan disaksikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim.
“Saya berasa bangga dengan komitmen proaktif ditonjolkan Profima untuk menggalakkan ahlinya mendaftar dan mencarum dengan SKSPS Perkeso. Difahamkan, sehingga kini terdapat 100 ahli Profima telah berdaftar serta dilindungi Perkeso menerusi inisiatif SPS Seni.
“Saya mengharapkan agar bilangan mereka yang dilindungi Perkeso itu akan terus bertambah seiring dengan masa. Kepada mereka yang bekerja sendiri, marilah mencarum dengan Perkeso,” kata Awang kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu dan pelancaran Kempen Mencarum SKSPS Perkeso di Wisma Perkeso, di Kuala Lumpur.
Menurut Awang keperluan perlindungan sosial kepada golongan bekerja sendiri kini semakin signifikan berikutan kes kemalangan melibatkan golongan itu dilaporkan ke Perkeso bertambah saban tahun.
“Trend peningkatan jumlah kemalangan ini seiring dengan peningkatan pencarum yang bekerja sendiri. Sehingga Julai lepas, terdapat 367,908 pencarum aktif berbanding 358,214 orang pada 2021, manakala sehingga Jun pula sebanyak 1,202 permohonan faedah SKSPS melibatkan kes kemalangan telah diluluskan Perkeso dengan bayaran faedah sebanyak RM1.2 juta,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khalil berkata inisiatif itu adalah antara misi Profima sejak awal tahun ini bagi mencari penyelesaian berhubung isu berteraskan kebajikan pekerja filem dalam industri itu.
"Kehadiran Profima di sini ibarat mewakili kesemua persatuan filem di Malaysia, kami akan teruskan usaha mempromosi dan melakukan hebahan (mengenai kepentingan caruman Perkeso) kepada seluruh penggiat seni tanah air,” katanya yang menggalakkan kesemua 25,000 ahlinya untuk mencarum.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Azman optimis bahawa usaha yang dilaksanakan itu mampu memberi perlindungan secara menyeluruh kepada penggiat seni ketika bertugas di lapangan.
"Perkeso amat menggalakkan golongan bekerja sendiri mendapatkan perlindungan daripada SKSPS demi kebajikan dan manfaat mereka serta keluarga sekiranya ditimpa kemalangan atau penyakit berkaitan aktiviti pekerjaan mereka," katanya.
Turut hadir pada majlis itu Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Senator Datuk Seri Zurainah Musa.
- Bernama