Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Bagi yang tak kesempatan menonton filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di panggung wayang, filem ini baru sahaja ditayang di Netflix. Filem ini arahan Syamsul Yusof, dan penerbitnya Abdul Rahman Mat Dali–yang dikaitkan dengan Isma.

Oleh kerana kontroversi filem ini yang cuba dikaitkan dengan semangat nasionalisme etnik Melayu, nasionalisme yang sempit dan hanya menenekankan kepada satu kaum, filem ini dikatakan penuh propaganda membakar semangat 'Melayu-Islam'. 

Maka sepanjang menonton filem ini bersama keluarga di samping berhibur, saya mencari-cari di manakah kemelayuan dalam filem ini. 

Jujur saya katakan keislaman' dalam filem ini terlalu pekat, tapi  Islam dalam filem ini bukanlah islam ala Melayu yang kita temukan dalam masyarakat Melayu kampung  seperti di Jerantut, atau Pahang atau Kelantan, apatah lagi ciri keislaman Melayu sekitar 1800-1900-an. 

Tetapi Islam dalam filem ini adalah Islam Melayu urban moden yang mudah kita jumpa di Bandar Baru Bangi dan Shah Alam pada tahun 2000-an. Menonton filem ini merasakan seolah-olah hanya permainan cosplay Melayu.

Mengapa begitu?

Dialog sahut cakap

Pertama sekali soal dialognya. Ini yang awla. Jika kita juga  mendengar arkib percakapan Tunku Abdul Rahman (lahir: 1903), lenggok bahasa mereka amat berlainan dengan dialog dalam filem ini. 

Dialog filem ini amat menjengkelkan. Semua orang bercakap mahu berbunga tapi bunganya kaku dan kekok. Perbualan berbunga ini mungkin tidak sesuai dengan latar 1800-1900-an, mungkin itu Melayu 1500-an lebih tepat. Itu pun dengan bunga bahasa yang indah. 

Kemudian semua percakapan bersulam hadis, dan kadang-kadang seakan-akan ceramah. Persoalannya berapa ramai Melayu klasik menghafal hadis? Dan siapakah yang bercakap bersulam hadis seperti itu? 

Dalam keluarga semua watak macam memberi tazkirah satu sama lain, sangat tidak natural. 

Dan nama sahabat Abdullah bin Mubarak disebut sekali. Persoalannya apakah Melayu  kebanyakan (selain ulama) zaman dahulu banyak mengenal sahabat? Atau mereka hanya mengenal beberapa sahabat besar sahaja?

Dialog filem ini juga menggunakan perkataan yang alien dalam budaya Melayu kampung dan marhaen di zaman itu. 

Tamsilnya: Pahlawan. Perkataan yang berasal dari Parsi, pehlivan ini mungkin jarang digunakan di zaman itu di Jerantut. Mungkin perkataan yang sesuai adalah pendekar bukan pahlawan.

Pahlawan mungkin digunakan dalam tulisan sastera klasik tapi tidak dalam bualan harian. Mat Kilau juga dikatakan "bagus" dalam ilmu tasawuf. Sekali lagi janggal kerana bagus tidak digunakan untuk indikasi ilmu itu. 

Mungkin "tinggi" atau "dalam" "makrifat" lebih dekat dengan pemahaman Melayu, tambah pula dalam kelompok persilatan.

Dialog setiap watak sangat menyakitkan telinga, seringkali dialog itu seolah-olah monolog yang digemakan satu sama lain. Percakapan satu watak dengan watak bukan membalas cakap tapi menyambung sahut cakap. 

Entah kenapa semua watak dalam filem ini bercakap dengan nada yang keras dan menjerit, 'bonus point' kita dapat Mat Kilau bercakap meneran macam Batman. Nada seolah mejerit dan menjerkah pastinya tidak sesuai dengan geist Melayu kampung yang tenang dan rileks. 

Tambah pula orang Pantai Timur seperti Pahang. Orang Melayu etnik yang sangat santun dan santai, tidak kelam kabut, berhemah dan bersopan santun. Hal ini tidak langsung ditonjolkan dalam filem itu. 

Sebaliknya semua bercakap gopoh dan gaya 'rempit', semacam filem KL Gangster. Melayu itu "budi bahasanya tidak terkira, kurang ajarnya tetap santun" kata Sasterawan Negara Usman Awang.  

Ada satu babak yang sangat tidak santun di mana Mat Kilau memarahi pengikutnya di hadapan anak isterinya. Melayu apakah ini? Melayu itu bergaduh suami isteri pun disorok dari anak, inikan pula menjatuhkan air muka pendekar lainnya?

Filem komedi Hantu Kak Limah lebih bagus mengarap semangat dan watak Melayu berbanding filem Mat Kilau ini.

Aksi

Keduanya, soal aksi. Sebagai peminat seni bela diri, setiap pergerakan saya mahu perhatikan. Malu sekali filem silat melayu tidak menonjolkan kehalusan seni gerak dan tari silat Melayu.

Pelakon Indonesia Yayan Ruhian  (watak Toga) lebih lancar seni geraknya. Yang lain kurang cantik dan agak keras. Untuk menutupi kekayuan ini, kamera digerakkan seperti gempa bumi sedang berlaku di bumi Pahang. Ini sangat menganggu. 

Selain itu, mengapa walau semua rakan-rakan watak Mat Kilau (Adi Putra) adalah rakan seperguruan mengapa hanya Mat Kilau membuka bunga seperti silat cekak Hanafi?

Mungkin pengarah atau penerbit terdesak mahu menunjukkan seni silat ini punya akar dalam ajaran Islam?

Entah, bila ditanyakan kepada beberapa kekanda silat lain pun merasakan hal sama. Di mana Melayunya kalau hal asas dalam kemelayuan ini gagal dipersembahkan dengan halus dan cantik? 

Ketiga, hilangnya roh pramoden dan praurbanisasi atau semangat pendekar Melayu dalam filem ini. Sangat menyakitkan mata apabila prop senjata digantung sewenangnya dalam rumah pendekar tanpa disimpan rapi. Mana pergi "pantang larang" dan adat Melayu?  

Begitu juga dalam hal mistisisme orang Melayu. Hanya satu babak sahaja menunjukkan Mat Kilau mandi embun. Tapi tidak banyak ditekankan perihal mistik yang tak dapat tidak mesti disisipkan dengan adat, budaya dan perihal kependekaran. 

Pengalaman peribadi keluarga yang mewarisi pusaka keris Pattani sebelah ibu sangat rapat dengan hal ini. 

Seorang Pensyarah Azaharuddin Mat Dali dalam satu forum pernah mencadangkan penekanan unsur ini kepada filem-filem sejarah, namun mentah-mentah ditolak oleh Syamsul Yusof.

Sebabnya entah. Cuma dengan penafian unsur ini jadilah filem ini sebuah imaginasi pengarah tanpa ada akar kemelayuan yang kuat. 

Perwatakan, naratif dan propaganda

Akhir sekali menyentuh soal perwatakan, naratif dan propaganda. Senang hati sekali semua pelakon berjaya membawakan watak dengan cemerlang. Tapi arahannya tetap mengecewakan. 

Pelakon yang hebat dan mantap berjaya mengarap watak dengan baik, sama ada pelakon tambahan  mahupun pelakon utama. 

Begitu jelas propaganda `identiti politik moden' dan urban cuba dipaksakan dalam filem ini dengan pengulangan dialog dan kata 'Melayu' dan 'Islam' perlu 'bersatu', paling lucu sampai orang Inggeris pun 'basuh' orang Melayu. 

Cina digambarkan bersedia menjadi sekutu inggeris kerana wang. Kaum Sikh digambarkan kejam dan sangat setia pada British. 

Akibat itu, ramai warganegara Malaysia daripada etnik Cina dan Sikh kurang senang dengan gambaran yang dibawa oleh filem ini. Naratif ini seolah mahu menunjukkan mereka "jahat". Namun, kegusaran mereka dijawab dengan itu "fakta sejarah". Okay, fair enough!

Tapi seluruh filem ini tidak tepat dengan fakta sejarah. Misalnya Inggeris digambarkan begitu kejam, sekejam Jepun. Walhal fakta sejarahnya sebaliknya, Inggeris datang dengan strategi kerjasama dan menduduki jabatan dekat dengan istana raja-raja melayu sebagai penasihat untuk modernisasi dan kemajuan. 

Hanya sedikit sahaja operasi yang ganas dijalankan itupun untuk memburu orang tertentu seperti Tok Janggut. Inggeris tidak bodoh membakar kampung sewenangnya kerana ini akan memudaratkan perniagaan Syarikat Hindia Timur.

Bahkan Inggeris menyediakan pembangunan dan pendidikan. Sebab polisi dan strategi geopolitik British yang sangat khusus di Malaya inilah mendiang Khoo Kay Kim dan Zainal Kling berpendapat Malaya tidak pernah dijajah. 

Jikalau filem ini tidak terikat dengan sejarah dan hanya fiksyen, boleh saja beberapa watak yang neutral daripada kaum Cina dan Sikh  boleh dimasukkan untuk menambah baik naratif agar seimbang, inklusif dan menyatupadukan seluruh warga Malaysia. 

Boleh sahaja kita masukkan watak Sikh yang membantu atau simpati kepada Melayu, Cina yang dipaksa bekerja di lombong dan tidak sukakan Inggeris. 

Tidak perlu keterlaluan seperti kelompok "liberal-woke" yang mahukan watak wira utama daripada pelbagai kaum, mungkin itu keterlaluan untuk sebuah filem terinspirasi sejarah. 

Cukup beberapa unsur kemanusiaan seperti di atas. Kalau kita lihat filem barat genre cowboy misalnya berlaku beberapa perubahan positif. Dahulu kaum asal digambarkan jahat, kemudian berubah.

Ada beberapa filem menggambarkan adanya watak kulit putih yang berkawan dengan orang asal atau simpati pada orang asal seperti Billy Jack (1971), Broken Arrow (1950), The Revenant (2015). Nama pun fiksyen sejarah, boleh direka ubah. Kan?

Dan kita tahu hakikatnya, orang Sikh dan Cina dan India yang dibawa masuk oleh British juga adalah mangsa penjajahan dan tidak bermusuhan dengan Melayu pada zaman itu. Oleh kerana polisi penjajah 'divide and rule', semua kaum ini dipisahkan dan dilagakan untuk melangsungkan penjajahan sehingga penyakit ini menjadi barah. Untuk menyahjajah , polisi ini harus diundur semula. 

Saya tidak sekali memusuhi kemelayuan. Sebaliknya tujuan kritikan ini ditulis untuk memelayukan filem-filem sejarah. Saya sangat menyokong filem sebagai wadah memperkasakan semangat nasionalisme dan patriotisme yang sejajar dengan semangat penubuhan negara bangsa Malaysia. 

Semangat saling menghormati antara kaum. Sebagai peminat filem sejarah dan bukan sedikit rujukan filem yang berkualiti boleh dijadikan rujukan tanpa ada 'ceramah', dialog yang menjengkelkan, aksi yang menyakitkan mata, dan yang sesuai dengan semangat zaman dan bangsa   

Cuba jadikan beberapa filem sebagai rujukan misalnya Braveheart (1995), The Darkest Hour (2017), Sang Kyai (2015), Sultan Agung: Tahta, Perjuangan, Cinta (2018), atau filem Malaysia seperti Puteri Gunung Ledang (2004) dan telemovie Pak Ngah Haji Omar (2011). 


AMIRUL MUKMININ ialah ialah seorang penganalisis politik dan lepasan dari universiti di Istanbul dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS