Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Mat Kilau tuai kecaman lepas ditayang di Netflix
Diterbitkan:  Sep 18, 2022 4:16 PM
Dikemaskini: Sep 19, 2022 12:12 AM

Jika sebelum ini Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan meraih kutipan pecah panggung malah rata-rata penonton memberi ulasan positif, filem itu sebaliknya menerima reaksi berbeza selepas ditayang di Netflix.

Sesetengah penonton melemparkan kritikan ke atas karya arahan Syamsul Yusuf sehari selepas filem epik itu ditayangkan di aplikasi penstriman berkenaan pada 16 Sept lalu - bersempena sambutan Hari Malaysia.

Seorang netizen menciap di Twitter dengan menyatakan, terdapat pelbagai kekurangan pada filem terbitan Studio Kembara itu dari sudut dialog, babak aksi dipamerkan berserta fakta sejarah dipaparkan.

“Baru selesai menonton Mat Kilau, sinematografi babak aksi kucar-kacir, pelakon geraknya sekali, kamera goyang 10 kali!

“Dialog ibarat ceramah yang ditujukan penonton IQ rendah! Guna tokoh sejarah untuk penceritaan tahap kartun Sabtu pagi.

“Dialog ibarat ceramah yang ditujukan penonton IQ rendah. Filem sempurna untuk orang Melayu,” katanya.

Untuk rekod, filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu bukan memaparkan 100 peratus peristiwa sebenar tetapi disuntik fiksyen mengikut kesesuaian.

Seorang lagi penonton berkata, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu mempunyai tahap kualiti sama seperti filem Indonesia pada tahun 2012.

“Sesuai dengan reviu yang diberi orang Indonesia ketika filem itu ditayang di sini. Rating yang sangat rendah, sinematografi dan grading kacau sekali, filem 2022 seperti filem Indonesia 10 tahun silam kualitasnya (kualitinya),” katanya.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi bualan ramai selepas sehari ditayangkan di Netflix. Penonton memberi respons negatif dan mengkritik filem yang mencecah kutipan pecah panggung hampir RM100 juta itu.

Sementara itu, Syamsul melalui akaun Instagram miliknya hari ini berkata, sudah menjadi asam garam apabila sesebuah filem itu disanjung mahupun dikritik pembuatannya.

Katanya, dia tetap bersyukur kerana filem arahannya itu masih mendapat sokongan ramai ketika ini.

“Filem Mat Kilau ini sejak dari keluar trailer dah mula viral, dulu satu Malaysia jadi fenomena sampailah ditayangkan di pawagam dan kini dalam Netflix pula.

“Komen negatif atau positif adalah lumrah dalam pembikinan sesebuah filem.

“Saya gembira kerana anda masih lagi bercakap mengenai filem saya dan masih menonton dan menyokongnya,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS