Kementerian Komunikasi Dan Multimedia (K-Komm) akan menjadikan kisah Setanggi Ratna Inderapura sebagai filem yang berupaya menembusi pasaran pawagam antarabangsa.
Timbalan Menteri K-Komm Zahidi Zainul Abidin berkata kisah sejarah Sultanah Alam Shah atau lebih dikenali sebagai Raja Ungu, srikandi Melayu yang terkenal dengan berpencak senjata dan mengetuai angkatan perang dapat dijadikan pengajaran khusus buat generasi muda pada masa ini.
“Ramai yang perlu tahu mengenai kisah Raja Ungu ini kerana ia sangat bermakna dan cerita ini bukan sahaja menonjolkan tentang sejarah Melayu tetapi elemen seperti syair dan nazam Melayu, harus ditonjolkan kepada generasi muda,” katanya selepas menonton teater Syair Setanggi Ratna Inderapura di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur malam tadi.
Menurut Zahidi, dia akan ke Thailand dalam masa terdekat untuk mengadakan kolaborasi strategik antara produksi filem tempatan bersama produksi filem Thailand bagi tujuan berkenaan.
“Minggu depan saya nak ke Thailand kerana kita mahu menggalakkan filem Setanggi Ratna Inderapura ini menembusi pasaran antarabangsa... saya juga akan berusaha mencari produksi-produksi filem di sana untuk bekerjasama dalam mengeluarkan filem ini,” katanya.
- Bernama