Penyanyi dangdut, Mas Idayu, 50, sah bergelar isteri kepada pasangannya yang juga Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 51, dengan sekali lafaz, jam 10.40 pagi ini.
Kedua-dua mempelai dinikahkan oleh imam dan penolong pendaftar nikah masjid jamek Kampung Baru Azizi Abd Hamid dengan mas kahwin RM1,001 di Magica Events Hall, Kuala Lumpur.
Majlis akad nikah itu disaksikan oleh bapa pengantin perempuan yang juga wali, Mesnun @ Masnun Hassan.
Perjalanan Mas ke pelamin diiringi oleh sahabat yang juga penerbit TV3, Nurul Huda Khalid.
Pengantin perempuan juga kelihatan menitiskan air mata ketika lafaz akad berlangsung, lapor Harian Metro.
Pihak pengantin lelaki membawa lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang daripada pihak pengantin perempuan.
Pembawa dulang hantaran pengantin perempuan diketuai oleh anak perempuan Mas, Nur Dayini Asyiqa.