Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dulu dikecam, Aisha Retno bersyukur kini diterima

Jika dua tahun lalu kemunculannya sebagai penghibur tarik suara dikecam teruk, Aisha Retno bersyukur kini peminat seni muzik semakin menerima kehadirannya.

Justeru, kata Aisha, penerimaan itu amat dihargai kerana dia sedar, tidak mudah untuknya berada pada tahap sekarang.

“Banyak liku kehidupan sebagai seorang artis perlu saya lalui... memang tak mudah. Saya masih ingat betapa banyak kecaman netizen yang belum boleh terima seorang Aisha Retno.

“Mereka tak gemar kerana saya kuat bereksperimentasi dengan karya. Ada juga yang sindir kata saya berlebih-lebihan. Ada juga kata saya tak layak dapat apa yang ada sekarang.

“Namun, saya bersikap positif. Lama-kelamaan mereka boleh terima muzik saya. Alhamdulillah, saya belum sempurna, tapi akan cuba buat sehabis baik,” jelasnya.

Menurut juara Vokal Mania 2020 itu, selain menyanyi, fokus utamanya kini adalah untuk mengukuhkan nama sebagai penulis lirik yang baru diceburinya kira-kira tiga tahun lalu.

Penyanyi bernama sebenar Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam juga memberitahu, dia dia 'dilamar' sebagai penulis lirik di Faithful Music tiga bulan lalu.

Hal itu, katanya, berbeza dengan bidang nyanyian yang diceburi sejak zaman bersekolah.

Aisha ditemui pada majlis An Intimate Showcase With Aisha Retno di Red Box The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam showcase itu, Aisha, 22, menyanyikan single sulung Mengikat Jiwa dan sebahagian lagu yang pernah menjadi runut bunyi drama iaitu Cinta Denganmu, Nukilanku, W.H.U.T (Wanna Hold You Tight) dan Sutera.

Untuk rekod, W.H.U.T (Wanna Hold You Tight) kini sudah mencapai 33 juta penstriman audio di keseluruhan platform digital.

Ketika membuat showcase sulung tersebut, air mata penyanyi Pencarianku itu tumpah mengenangkan usahanya untuk mendapatkan tempat di hati peminat akhirnya membuahkan hasil.

Berbicara mengenai perasaan mengadakan showcase tersebut, Aisha mengakui dia teruja kerana dapat menghargai peminat dan media secara lebih dekat.

“Alang-alang dah buat persembahan secara lebih dekat, bolehlah saya persembahkan lagu terbaru iaitu Sutera secara langsung dan sekali gus dapat mempromosikannya kepada tetamu yang hadir,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS