Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aman Shah meninggal dunia
Diterbitkan:  Sep 14, 2022 4:45 PM
Dikemaskini: 9:01 AM

Penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an, Aman Shah Abu Kassim, meninggal dunia akibat mengalami komplikasi jantung hari ini.

Dia yang lebih dikenali sebagai Aman Shah, berusia 68 tahun dan menghembus nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Berita dukacita itu disahkan Setiausaha Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah dalam kenyataan media hari ini.

“Dukacita dimaklumkan bahawa seorang lagi permata seni hiburan tanah air popular, Aman Shah, kembali kerahmatullah pada jam 2.15 petang tadi di IJN.

“Allahyarham berusia 68 tahun,” katanya.

Sementara itu, pembantu peribadi adik arwah, Amirudin Mokhtar, berkata Aman Shah terjatuh selepas menjalani pembedahan malam tadi.

Kata Amirudin, pihak keluarga sedang menunggu proses pengurusan jenazah.

“Allahyarham dimasukkan ke hospital tiga hari lepas. Sekarang kami sedang menunggu proses pengurusan jenazah,” jelasnya yang dipetik Utusan Online.

Sementara itu, pelakon, Lizawati Hamdan yang berada di IJN turut mengesahkan perkara tersebut.

“Saya baru melihat jenazahnya sebentar tadi. Allahyarham dimasukkan ke IJN sejak Rabu lalu dan punca kematiannya akibat masalah jantung,” katanya.

Ketika berita ini ditulis, jenazah penyanyi Kepulangan Yang Dinanti itu masih berada di IJN untuk urusan bedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Alam Damai di Cheras untuk disolatkan dan dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Kuala Lumpur.

Semasa hayatnya Aman Shah turut muncul dalam beberapa filem seperti Azura dan Darah Satria, selain mewarnai drama televisyen dalam Gerak Khas musim 12 serta Jelatang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS