Selama 25 tahun Liza Hanim mendambakan “trofi mikrofon” Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) dan impian itu hanya terlaksana pada edisi ke-23 yang berlangsung kelmarin.
Kata penyanyi itu, kemenangan buat julung kali yang diraih itu dirasakan bagai sebuah mimpi.
“25 tahun saya tunggu untuk pegang ‘mikrofon’ ni (merujuk kepada trofi AIM berbentuk mikrofon). Mikrofon lain semua saya dah pegang. Yang ni saya belum pegang lagi.
“Kemenangan ni sangat istimewa kerana saya dah tunggu sejak sekian lama untuk mendapat pengiktirafan di AIM,” jelasnya.
Pemilik nama penuh Haliza Hanim Abdul Halim itu juga tidak kisah sekiranya ada yang berpendapat dia memang ‘terkejar-kejar’ untuk anugerah AIM selama ini.
Kata Liza, 42, penantiannya itu dirasakan amat berbaloi sesuai dengan usaha dan keringat yang dicurahkan apabila dia mengungguli kategori Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik Di Dalam Lagu bersama Shila Amzah.
“Jadi tipulah kalau kata saya tak tunggu untuk menang AIM. Tapi rasanya penantian saya selama suku abad memang berbaloi dengan kejayaan malam ni,” katanya.
Liza berkata demikian ketika ditemui pada AIM23 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 11 Sept lalu.
Liza dan Shila turut merangkul anugerah Runut Bunyi (OST) Terbaik Di Dalam Filem atau Drama menerusi lagu Bahagiakan Dia, ciptaan Aliff Iskandar dan Que Afiq.
Sepanjang bergelar penyanyi, nama Liza Hanim pernah beberapa kali tercalon dalam AIM bagi kategori Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Wanita Terbaik (4 kali) dan Album Pop Terbaik (2 kali).
Ditanya adakah dia pernah berasa putus asa untuk merangkul sebarang anugerah di AIM, penyanyi Siapa Sangka Siapa Menduga itu berkata, tipulah jika perkara berkenaan tidak pernah singgah di fikirannya.
Menurutnya, apabila sering dicalonkan tetapi asyik pulang dengan tangan kosong, dia hanya mampu bersyukur. Tutur Liza, sekurang-kurangnya namanya tetap dicalonkan.
“Sampai satu tahap saya jadi bersyukur andai setakat tercalon antara yang terbaik kerana bukan sekejap penantian saya untuk meraih pengiktirafan ni.
“Namun kemenangan pada malam ini telah menebus kedahagaan saya yang mendambakan trofi AIM ini,” ujarnya.