ULASAN SENI | Ibarat sebagus dalam rakaman, demikian kemantapan dan keunikan alunan vokal Once Mekel yang bernada tinggi sewaktu mempersembahkan lagu-lagu hit Dewa 19 sepanjang berlangsung hari pertama konsert kumpulan itu baru-baru ini.
Jadi tidak hairanlah jika 9,000 Baladewa dan Baladewi yang berada di Axiata Arena, Bukit Jalil tertunggu-tunggu kemunculan penyanyi berkenaan dengan penuh sabar meskipun perlu berdepan hujan sebelumnya.
Selepas Negaraku berkumandang, tepat jam 8.40 malam, tirai konsert Anniversary Tour, 30 Years Of Dewa 19 dibuka oleh dua penyanyi, Marcelo Tahitoe atau Ello, dan Muhammad Davirzha atau Virzha.
Mereka memulakan persembahan dengan lagu Format Masa Depan dari album kedua Dewa 19, yang menggunakan nama sama. Lagu diterbitkan pada 1994 itu dipilih memandangkan konsert berkenaan hadir sempena meraikan 30 tahun kewujudan kumpulan berkenaan di persada seni.
Ello bersama Virzha kemudian bergandingan menyampaikan lagu Restoe Boemi dari album ketiga Dewa 19 yang diterbitkan pada 1995 berjudul Terbaik Terbaik.
Ia disusuli lagu hit kumpulan Queen, I Want To Break Free dan Still I Am Sure We’ll Love Again (Format Masa Depan).
Namun, suasana stadium Axiata Arena belum cukup ‘panas’ ketika itu, mungkin kerana ada segelintir anak muda yang tidak cukup kenal dengan lagu-lagu dari album Dewa 19 pada era berkenaan. Atau barangkali juga mereka lebih dipengaruhi dengan personaliti Once dan Ari Lasso.
Namun, jangan terkejut jika ada antara penonton yang beranggapan kedua-dua vokalis berkenaan muncul sekadar persembahan pembukaan yang kurang bermakna.
“Oh… nampak sangat aku dah tak follow Dewa 19 lepas vokalis kumpulan tu bersilih ganti,” ujar seorang wanita dalam usia hampir 40-an pada minit awal ketika dia menyaksikan persembahan berkenaan.
Lebih daripada jangkaan
Ello dan Virzha bukan vokalis tetap Dewa 19. Band itu tidak mempunyai vokalis tetap selepas Once meninggalkan kumpulan tersebut pada 2011.
Posisi vokalis Dewa 19 bersilih ganti sejak kebelakangan ini dengan keempat-empat penyanyi iaitu Once, Ari Lasso, Ello dan Virzha.
Selepas empat lagu dipersembahkan Ello dan Virzha, Ahmad Dhani kemudian mengambil alih pentas, menyapa peminat yang sudah semakin tidak sabar untuk menyanyi lagu-lagu hit Dewa 19.
Pemuzik yang gemar bereksperimentasi dengan muzik dan lirik itu juga 'bermurah hati' menghadiahkan 38 lagu kepada Baladewa dan Baladewi berbanding 30 lagu seperti dijanjikan sebelum ini.
“Malaysia apa khabar? Senang sekali Dewa 19 dapat datang ke sini. Malam ini kami tidak menyanyikan 30 buah lagu, sebaliknya hampir 40 lagu untuk semua.
“Jadi buat yang masih belum meminati Dewa 19, anda tunggu sehingga ke habis konsert ini (untuk jatuh hati dengan Dewa 19),” katanya sebelum menyanyikan Cinta Gila.
Dalam kenangan, pemilik nama penuh Dhani Ahmad Prasetyo itu mengambil waktu sejenak untuk mengenang dan meluahkan apresiasinya kepada insan yang banyak menyumbangkan lagu hit Dewa 19 iaitu Allahyarham Erwin Prasetya.
Erwin meninggal dunia pada 2 Mei tahun lalu akibat pendarahan dalam perut.
Masa yang ditunggu muncul
Selain bertindak selaku komposer dan penulis lagu, Erwin juga bekas pemain bass Dewa 19. Dia bergabung dengan kumpulan itu sejak awal hingga 2002. Antara lagu dicipta Erwin adalah Kirana, Restoe Boemi, dan Kamulah Satu-satunya.
Persembahan kemudian diteruskan dengan Ello yang menyanyikan Aspirasi Putih dan single perdananya bersama Dewa 19, Juliette.
Juliette diterbitkan selepas 12 tahun Dewa 19 tiada karya baru, manakala Aspirasi Putih dari Pandawa Lima, album keempat Dewa 19.
Bagaimanapun, anak-anak muda seolah-olah terpinga-pinga apabila kedua-dua lagu itu dipersembahkan.
Begitu juga ketika Virzha menyanyi Selatan Jakarta dan Bunga dari album Pandawa Lima yang diterbitkan pada 1997. Namun mereka kembali rancak menyanyi bersama ketika Aku Milikmu dan Larut.
Memasuki segmen kedua tepat jam 10 malam, suasana menjadi semakin gamat dan meriah apabila Once - atau nama sebenarnya, Elfonda Mekel - vokalis yang paling ditunggu-tunggu muncul di pentas.
Memilih lagu Roman Picisan sebagai pembuka, dia terus membakar adrenalin peminat dengan lagu-lagu popular seperti Arjuna, Dewi, Perempuan Paling Cantik Di Negeriku Indonesia, Dua Sedjoli, Lagu Cinta dan Mistikus Cinta.
“Selamat malam Malaysia. Senang sekali jumpa anda malam ini. Malam ini adalah malam terbaik, semoga anda semua bergembira! Anda puas, kami lemas,” ujar Once disambut dengan sorakan penonton.
Hadir dalam rangka jelajah sempena ulang tahunnya, kumpulan diasaskan pada 1986 itu terlebih dulu memulakan konsert mereka di beberapa kota di Indonesia seperti Jogjakarta, Surabaya, Mataram, dan Banjarmasin.
Konsert yang pada awal dirancang pada 10 Sept di Kuala Lumpur ditambah menjadi dua hari susulan keluh-kesah Baladewa dan Baladewi yang terlepas peluang membeli tiket pada 18 Julai lalu.
Kata Ahmad Dhani, Kuala Lumpur sangat istimewa, justeru persembahan mereka ditambah menjadi dua malam.
Ghairah menyanyi bersama
Memasuki segmen akhir persembahan, vokalis asal Dewa 19, Ari Lasso tampil meluahkan rasa terharu dengan sokongan peminat dan peluang mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
“Terima kasih buat semua yang datang membeli tiket hingga malam ini menjadi luar biasa. Terima kasih juga untuk Puspal (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara). Tanpa mereka kita tidak bisa berada di sini.
“Rasanya sungguh keajaiban kerana saya masih hidup dan masih bisa bernyanyi untuk teman-teman di Kuala Lumpur. Dewa 19 ada di sini untuk kalian semuanya,” kata pemilik nama penuh Ari Bernardus Lasso itu.
Sosok tubuh berasal dari Madiun, Jawa Timur itu mempersembahkan lagu-lagu mendayu paling diingati ketika dia menjadi vokalis Dewa 19 sepanjang era 1990-an.
Ketika itu juga kumpulan tersebut meledak dengan lagu-lagu seperti Cinta Kan Membawamu Kembali, Aku Di Sini, Satu Hati serta lagu rancak Elang dan Cukup Siti Nurbaya sebelum pentas diambil semula oleh Once.
Elang pertama kali diterbit pada 1999 dalam album The Best of Dewa 19. Elang mempunyai sejarah tersendiri. Ia kononnya menjadi album perpisahan sebelum tempat Ari - yang berdepan masalah ketagihan dadah - digantikan dengan Once. Elang juga pernah diulang terbit dengan Mahadewa yang dinyanyikan Judika.
Penonton sekali lagi menyambut Once yang menyanyikan lagu popular serta dekat di hati seperti Risalah Hati, Satu dan Pupus dengan penuh semangat keghairahan untuk menyanyi bersama. Once ketika di pentas acap kali meraikan pasangan bercinta melalui ucapan mahupun lagu-lagu cinta yang dipersembahkannya.
Lirik itu tergambar seperti dalam Risalah Hati:
Hidupku tanpa cintamu
Bagai malam tanpa bintang
Cintaku tanpa sambutmu
Bagai panas tanpa hujan
Ari kemudian meneruskan persembahan dengan tiga lagi lagu pernah dipopularkannya: Kirana, Kangen dan Kamulah Satu-Satunya. Suara Ari ditambah dengan lirik puitis lagu-lagu pada eranya itu mengalih pandangan dari waktu yang sedang berlalu dan hampir tiba ke penghujung persembahan band tersebut.
Berlangsung hampir empat jam, Dewa 19 melabuhkan tirai dengan membawa keempat-empat vokalis untuk menyampaikan lagu penutup Separuh Nafas. Ketika itu, belon-belon besar yang digantung tinggi pada awal kemudian dilepaskan.
Persembahan Dewa 19 malam itu turut diserikan dengan kehadiran bekas pemain dram band itu yang berwajah ganteng, Tyo Nugros.
Secara keseluruhan, Dewa 19 memberi persembahan yang cukup mantap biarpun menampilkan dua vokalis baru bersama di pentas.
Cuma sedikit ralat apabila dalam kerancakannya membuat persembahan yang melakar sejarah tersendiri Dewa 19 itu, Ahmad Dhani ‘terkucil’ seketika sewaktu menyampaikan Mistikus Cinta.
Penulis juga berpendapat, Aku Milikmu lebih layak disampaikan oleh Ari manakala Larut dinyanyikan oleh Once memandangkan kedua-dua lagu itu cukup memberi kesan kepada peminat.
Laskar Cinta juga tidak didendangkan pada malam pertama mahupun malam terakhir.
Lagu itu tidak dipersembahkan sepanjang konsert jelajah band berkenaan di 30 ibu kota.
Mungkin pada masa depan, pihak penganjur wajar membuka lebih banyak laluan untuk penonton seusai konsert berbanding satu pintu untuk keluar demi faktor keselamatan.
NADIA AZAM ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal beria ini.