Ezad Lazim menganggap ketiadaannya dalam Konsert Resolusi Exist sebagai membuka rezeki buat Mamat untuk menjayakan persembahan itu - bersama dua lagi gandingan penyanyi lain - pada 18 November nanti.
Penyanyi asal Alor Setar, Kedah itu berkata, memang asalnya nama dia ‘dipetik’ terlebih dulu oleh penganjur konsert berkenaan memandangkan mereka bimbang dengan tahap kesihatan Mamat.
“Tapi apabila dah jadi macam ni (tarikh persembahan jatuh pada bulan sama), saya anggap ia rezeki buat Mamat. Rezeki saya pula pada mini showcase yang julung kali akan diadakan.
“Bagi saya, dengan Mamat saja sebenarnya dah cukup kuat kerana nama Exist kukuh disebabkan penyanyi tu,” ujarnya.
Kata Ezad, dia terpaksa menolak pelawaan tersebut atas sebab komitmen kerja lain yang sudah diterima lebih awal.
Menurutnya, ia juga bagi menghormati permintaan penganjur Mini Showcase Jiwa & Lagu Ezad Lazim, iaitu New Dimension Sdn Bhd yang tidak mahu tumpuannya terjejas.
“Sebenarnya saya terima tawaran buat mini showcase pada 25 dan 26 November ni sebelum saya dipanggil untuk menyertai konsert berkenaan.
“Selepas berbincang dan membuat penilaian, saya terpaksa buat satu pilihan saja kerana enggan stamina merosot akibat persembahan lain yang berlangsung pada bulan sama,” jelasnya.
Cakap-cakap belakang
Penyanyi itu ditemui pada majlis pengumuman Mini Showcase Jiwa & Lagu Ezad Lazim yang di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Ampang, baru-baru ini.
Konsert mini berkenaan yang berlangsung selama dua hari berturut-turut akan berlangsung di Aseania Resort & Spa, Pulau Langkawi, Kedah manakala Konsert Resolusi Exists akan mengambil tempat di Zepp Kuala Lumpur.
Untuk rekod, selain Mamat, dua lagi penyanyi yang bakal menjayakan Konsert Resolusi Exist di Zepp, Kuala Lumpur itu adalah Pasha dan Eiz.
Pemilik nama asal Mohd Rohaizad Mohd Lazim itu mengulas demikian susulan tular postingnya yang dimuat naik di laman sosial baru-baru ini yang katanya disalah anggap.
Menafikan cakap-cakap belakang mengenai dirinya disisihkan, Ezad, 42, berkata, hubungannya dengan Exist adalah baik seperti biasa.
“Saya tolak tawaran tu bukan sebab kami bergaduh, saya memang tiada masalah dengan mereka. Saya bukan buat konsert yang besar,” katanya.
Mengulas spekulasi dia sebenarnya ingin membolot keuntungan dengan melakukan persembahan secara solo, Ezad menjawab, peluang sebegitu tidak boleh dilepaskan begitu saja.
Tambahnya, dia tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana pihak untuk mengadakan persembahan solo sebelum ini.
“Saya terima sebab ia showcase solo pertama saya selama dalam industri. Ia satu peluang yang amat berharga.
“Saya dah biasa penuhi undangan persembahan untuk seorang dan pernah menyertai Gegar Vaganza musim kedua (GV2) juga seorang diri malah bawa nama dan lagu Exist.
“Saya anggap semua orang ada peluang untuk ‘makan sorang’, tapi terpulang macam mana mereka nak mencarinya,” katanya.