Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pemenang 4 kategori AIM23 terima Dana Kandungan Digital
Diterbitkan:  Sep 9, 2022 3:10 PM
Dikemaskini: 7:10 AM

Buat julung kalinya, empat pemenang kategori terbaik Anugerah Industri Muzik edisi ke-23 (AIM23) diumumkan bakal menerima Dana Kandungan Digital atau DKD Industri Muzik.

Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, Rosmin Hashim berkata, inisiatif itu diberikan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) untuk pemenang Artis Baru Terbaik, Video Muzik Terbaik, Lagu Terbaik dan Album Terbaik sebagai satu bentuk galakan dan insentif kepada penggiat industri muzik.

“Kami baru saja menerima berita gembira ni daripada K-KOMM dan RIM selaku penganjur AIM.

“Kami amat menghargai dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh kerajaan terhadap penggiat industri muzik tempatan.

“Selaras dengan matlamat AIM untuk meningkatkan kualiti kandungan kreatif, inisiatif melalui DKD kepada empat pemenang kategori utama AIM ini akan menjadi pemangkin kepada penggiat industri muzik untuk menghasilkan karya kandungan kreatif berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemenang kategori anugerah terpilih akan menerima DKD sebanyak RM50,000 setiap seorang untuk Artis Baru Terbaik dan Lagu Terbaik. Bagi Video Muzik Terbaik akan menerima RM20,000 manakala untuk Album Terbaik bakal menerima dana sebanyak RM200,000.

Katanya, DKD yang diperuntukkan untuk pemenang AIM23 akan diberikan melalui syarikat rakaman kepada pemenang masing-masing agar pelaburan DKD tersebut mencapai impak maksima dan produktif serta melibatkan pelbagai rantaian peluang pekerjaan dalam ekosistem industri muzik tempatan.

Rosmin Hashim

Menurut Rosmin, DKD merupakan antara inisiatif penting kerajaan dalam membantu dan menggalakkan pengamal industri kreatif untuk menghasilkan, memasarkan dan mengedar kandungan kreatif yang tinggi nilainya kepada pasaran tempatan serta antarabangsa.

“DKD yang diperuntukkan untuk pemenang kategori anugerah Artis Baru Terbaik misalnya boleh digunakan untuk menghasilkan single yang lebih berkualiti untuk penerima sekaligus meningkatkan pembangunan kerjaya artis tersebut.

“Pemberian DKD kepada pemenang anugerah Lagu Terbaik membolehkan penerima menghasilkan single dan video muzik baru dengan kualiti pengeluaran yang lebih tinggi.

“Selain itu, pemberian DKD turut diberikan kepada pemenang kategori anugerah Video Muzik Terbaik dan Album Terbaik untuk mengalakkan penghasilan lebih banyak album yang berkualiti tinggi dan berpotensi untuk pasaran tempatan dan antarabangsa,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS