Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN BUKU | Entah berapa kali Raja Ahmad Aminullah mengungkit-ungkit tentang peranan sebenar penggerak dan penggiat politik serta kesedaran yang semakin hilang daripada mereka.

Kadang-kadang dia menggunakan kalimah "khidmat bakti" dan pada masa lain bercakap mengenai "kesedaran" atau "terbaik" dan kejadian saling tolak-menolak untuk menjadi calon pilihan raya.

Pada kesempatan lain Raja Ahmad bercerita mengenai zeitgeist (semangat zaman) dan pentingnya orang lama/tua mendepangkan tangan menyambut watak-watak muda untuk mencorakkan politik agar negara ini keluar dari terus terjebak dengan 'pasir jerlus' yang kita ciptakan sendiri.

Genta Telah Berbunyi ini agak membosankan pada awalnya. Mungkin Raja Ahmad bukan sengaja menyiapkan naskhah ini sebegitu. Sesetengah kandungannya - di peringkat awal itu - terasa seperti remeh dan mungkin tidak menjejaskan bukunya jika ditiadakan. Atau dikurangkan.

Namun sesudah berasa 'lemau' seketika, kandungan Genta Telah Berbunyi semakin mengasyikkan. Pada kebanyakan masa penulis buku itu mempersembahkan hakikat yang pahit tetapi jika ditanggapi dengan waras, tahulah kita bahawa ia adalah sejenis 'ubat.'

Raja Ahmad juga tidak begitu memilih pihak yang ingin dikritiknya. Kiri atau kanan, kerajaan atau pembangkang, secara keseluruhan ia dilayan dengan selayaknya.

Dan ia dizahirkan dari pandangan orang yang berada di luar lingkaran watak-watak perebut kuasa.

Di sebalik usianya, Raja Ahmad juga memberi banyak penekanan kepada peri penting golongan muda dan pembabitan mereka dalam kancah politik. Dia melihat golongan berkenaan sebagai suatu peluang untuk mencipta titik permulaan baru dalam siasah negara.

Cuma pada keadaan tertentu dirasakan penulis buku seakan-akan 'malas' untuk mencari perkataan bahasa Melayu yang sesuai untuk menyampaikan ideanya.

Hal itu kerana Raja Ahmad secara selamba memasukkan bahasa Inggeris pada ketika yang tidak perlu dan ada istilah bahasa Melayu yang boleh menzahirkan pandangannya.

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan, sesekali ia kelihatan seperti dipaksa-paksakan.

Permasalahan semasa

Ia kemudian mengingatkan kita kepada kelaziman tokoh wartawan A Kadir Jasin dalam hantaran-hantaran berbahasa Melayunya di media sosial. Di sebalik kedudukan A Kadir sebagai penulis/kolumnis/ketua pengarang media berbahasa Inggeris, dia selalu berjaya - dengan santai - mencari istilah yang sesuai bagi menggantikan perkataan bahasa Inggeris.

Begitu juga kemunculan bahasa Indonesia yang kadang-kadang mengganggu. Bukan kerana ia tidak difahami, tetapi kerana di sana ada bahasa tempatan yang boleh digunakan tanpa mencacatkan maksud yang mahu disampaikan.

Namun perlu diingatkan, ia bukanlah suatu 'dosa besar' sehingga menyebabkan Genta Telah Berbunyi harus diabaikan.

Seperti dinyatakan pada awal tadi, Raja Ahmad menghuraikan permasalahan semasa dengan mengasyikkan dan mudah. Dan ia adalah realiti yang diketahui ramai, namun ramai juga yang memilih untuk tidak mengendahkannya.

Misalnya sikap 'mengada-ngada' orang pencen yang ranggi hanya di tempat/lingkungan tertentu tetapi menikus apabila berada di tempat atau forum terbuka.

Ia kira-kira sama saja dengan sikap sesetengah pegawai kanan kerajaan atau pemimpin politik yang mengecut jika dihubungi wartawan tempatan meski pun dijanjikan identiti mereka dirahsiakan, tetapi rela bercerita itu dan ini jika ditanya media asing.

Genta Telah Berbunyi juga menarik kerana ia disulam dengan unsur seni dan sastera, selain masukan beberapa sajak penulisnya.

Dalam penjelasan mudah, Genta Telah Berbunyi bercerita tentang kemelut semasa di negara ini dan mengingatkan pembaca kepada sesuatu yang sudah hilang daripada kita.

Ia bukanlah sesuatu yang unik, istimewa, eksklusif atau seumpamanya. Ia adalah sikap asas pada seorang ahli politik, penjawat awam dan sesiapa yang menawarkan khidmat untuk masyarakat.

Atau dalam bahasa lain, sesiapa saja yang mahu "berkhidmat" kepada rakyat. Ia sangat asas, tetapi dengan kebejatan yang sudah parah dalam negara ini, sifat yang asas itu menjadi sesuatu yang amat nadir.

Suatu kegilaan, sebenarnya, untuk kita mengimpikan sebuah negara, kerajaan dan politik yang jujur ketika hakikatnya memang itulah yang patut dibawa oleh negara, kerajaan dan politik.

Mungkin benar, Raja Ahmad itu seorang yang idealis. Cuma pada masa sama, kita perlu mengakui bahawa menjadi idealis itu bukanlah satu dosa.

Judul: Genta Telah Berbunyi
Penulis: Raja Ahmad Aminullah
Penerbit: SIRD (2022)


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS