Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Simposium Muzik Ipoh bertema industri muzik pop 1960an

Simposium Muzik Ipoh yang akan berlangsung selama tiga hari di sekitar Ipoh bermula 21 hingga 23 Okt ini bakal mempergiatkan lagi aktiviti ekonomi di Ipoh selain dapat mengetengahkan industri muzik kepada generasi muda.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed berkata program tersebut merupakan edisi keempat bertemakan Pop 1960-an: Emulasi, Revolusi dan Legasi.

“Program ini antara lain bagi mengumpul input dan pelbagai perspektif mengenai bidang muzik melalui pembentangan makalah oleh panelis jemputan dari dalam negara dan negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia bagi membuka perbincangan dan wacana mengenai kepentingan, pengaruh dan kesan gerakan seni muzik ke atas masyarakat khususnya generasi muda.

“Selain simposium sebagai program utama, terdapat program menarik seperti forum, bengkel, pameran dan sebuah konsert khas yang bakal dijayakan oleh para seniman ternama dari dalam dan luar negara,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di People Of Remarkable Talents (PORT) di Ipoh hari ini.

Dalam perkembangan lain, Nolee Ashilin menasihati orang ramai agar tidak mengunjungi tempat percutian dan perkelahan jika cuaca buruk bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini susulan kematian seorang remaja lelaki di Air Terjun Bukit Berangkai, Kampar dua hari lepas. 

“Di kawasan air terjun tersebut terdapat papan tanda amaran bagi mengelak berlakunya kejadian lemas selain dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada,” tambahnya.

Dilapor pada 6 Sept lepas, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun lemas sewaktu mandi di air terjun Bukit Berangkai, Kampar pada kira-kira jam 11.15 pagi dan hasil pemeriksaan oleh pihak polis daerah Kampar mendapati kawasan kejadian merupakan kawasan berisiko dan kerap berlaku kematian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS