Paling Popular
Terkini
story images
story images

Jaclyn Victor mengakui beberapa individu yang bukan terdiri dalam kalangan artis menasihatinya agar tidak menyertai Gegar Vaganza musim kesembilan (GV).

Penyanyi itu juga pada awal mengakui hatinya memang berbolak-balik untuk menerima pelawaan daripada pihak Astro bagi menyertai pertandingan berkenaan.

“Ramai yang nasihatkan saya tak payah la masuk (GV9) Jac (Jaclyn). Mereka yang cakap begitu bukan artis, tapi orang kebanyakan.

“Saya juga ambil masa berbulan-bulan untuk pertimbangkan pelawaan Astro kerana pada pandangan saya, penyertaan untuk musim terdahulu hanya untuk penyanyi lama yang tak hasilkan lagu baru dan ingin kembali aktif,” katanya.

Namun, Jaclyn, 43, memberitahu, dia sedia mengambil peluang yang ada selepas dijelaskan lebih terperinci mengenai pembaharuan yang ada.

Katanya, tiada salah untuk dia mencabar diri dengan perkara baru.

“Saya ambil maklum bahawa perkara yang lama sudah berubah. Jadi, apa salahnya saya ambil peluang yang ada cabar diri bawa genre berbeza,” jelasnya.

Bagaimanapun, apabila ditanya adakah dia menganggap dirinya seorang artis ‘sendu’ (kurang popular), penyanyi lagu Gemilang itu menjawab: “Adakah saya sendu? Tak tahulah, saya baru keluarkan lagu kot.”

Jacylyn berkata demikian pada majlis pengumuman 13 bintang GV9 di Menara Kuala Lumpur semalam.

Kesemua peserta bakal berentap merebut gelaran juara bermula 18 Sept ini di Auditorium MBSA Shah Alam.

Terdahulu, program realiti Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) dilaporkan mempertaruhkan beberapa artis yang muda dan masih aktif. Alasan Astro, mereka tidak mahu kekal dengan format yang statik.

Pada masa sama, Jaclyn, mengaku dirinya tertekan apabila terpaksa merahsiakan penyertaannya sebagai peserta GV9 sebelum semua nama peserta diumumkan semalam.

Katanya, dia terpaksa mengunci mulut walaupun banyak pihak mula bertanyakan hal itu kepadanya sebelum ini.

“Saya tertekan sangat. Sebab saya tak pandai nak menipu. Sebab salah satu syarat untuk sertai program ni adalah tak boleh berkongsi penyertaan pada peringkat awal.

“Saya terpaksa menafikan apabila ditanya kerana nama peserta hanya boleh dikongsikan pada sidang media rasmi malam tadi,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS