Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Shahir Zawawi selamat bergelar suami
Diterbitkan:  Sep 2, 2022 10:17 PM
Dikemaskini: 2:17 PM

Penyanyi Shahir Zawawi, sah bergelar suami kepada, Jaskin Jaludin dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Bizmilla Wedding Centre, Subang kira-kira jam 9.10 malam tadi.

Shahir atau nama sebenarnya, Ahmad Shahir Zawawi dinikahkan bapa pengantin perempuan, Jaludin Nongce disaksikan penolong daftar nikah, Muhammad Hakimi Mustapai dan bapa pengantin lelaki, Zawawi Abdullah.

Majlis pernikahan yang berlangsung secara besar-besaran itu dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

Pada majlis itu, rombongan pengantin lelaki menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pengantin perempuan, manakala mas kahwin berjumlah RM300.

Jumlah wang hantaran yang diberikan pihak lelaki kepada pengantin perempuan pula berjumlah RM20,000.

Shahir, 33, bersyukur kerana akad nikahnya berjalan dengan lancar seperti dirancang.

“Kepada keluarga dan rakan media, saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua yang telah bersama-sama membantu menjayakan majlis ni.

“Alhamdulillah, ini satu permulaan baru buat kami dan selepas ni, saya perlu memikirkan perancangan untuk kami berdua pula,” katanya.

Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu juga berharap perkahwinan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.

“Saya berharap kami berdua dapat membina sebuah rumah tangga yang sihat dan berlandaskan agama.

“Saya amat bersyukur majlis pada malam ini berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Pada 16 Julai lalu, penyanyi Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu mengikat tali pertunangan dengan Jaskin yang juga usahawan merangkap pemilik sebuah butik di Sabah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS