Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert 26 tahun: Nazrey tak terkilan jika Raihan tak mengundang

Meskipun penampilan Garis Masa Raihan mungkin dirasakan tidak lengkap oleh peminat tanpa kehadirannya, Nazrey Johani tetap mendoakan konsert tersebut berjalan dengan sebaik mungkin.

Justeru, kata bekas anggota Raihan itu, dia sedikit pun tidak terkilan apabila dirinya “belum menerima” undangan bagi meraikan konsert sempena meraikan ulang tahun ke-26 kumpulan berkenaan.

“Memang selalunya peminat akan cari Nazrey, bagi mereka, jika saya ada maka lengkaplah Raihan. Ibarat lima jari, kalau tiada satu, jadi tidak lengkaplah sebelah tangan.

“Sekiranya saya dijemput, mungkin lengkaplah persembahan tu. Setakat ni, belum terima undangan tapi mana tahu jika tiba-tiba dipelawa dan saya tiba-tiba muncul bersama mereka di pentas.

“Jadi kalau dijemput saya pergi, jika tak, buat apa mahu bising. Itu hak mereka,” ujarnya.

Nazrey, 50, turut memuji usaha Raihan dalam membangkitkan kembali irama nasyid melalui konsert yang akan diadakan itu di Shah Alam pada Nov ini.

Namun katanya, dia perlu akur dengan keputusan Raihan sekiranya tidak dijemput dan meminta peminatnya memahami perkara tersebut.

“Jujur, saya bersyukur Raihan mampu mengadakan sebuah konsert dan gembira apabila nasyid dapat bangkit kembali.

“Ini bukan buat-buat, saya memang tiada masalah dengan Raihan,” jelasnya ketika ditemui pada sidang media Konsert Nasyid Legenda di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Perlu dana untuk tahfiz

Konsert Nasyid Legenda dengan slogan Kembali Bersinar itu dijadual dipentaskan di Dewan Sivik MBPJ pada 29 Okt ini dan bakal menampilkan artis seperti Hijjaz, Rabbani, Inteam, Akhil Hayy, Hasnul, Amal dan penyanyi Shahir Zawawi dan Raja Suhaimi.

Untuk rekod, pada saat Raihan berada pada kemuncak kejayaannya pada 2006, Nazrey - selaku vokalis utama - membuat kejutan dengan melangkah keluar dari kumpulan berkenaan.

Dia yang sibuk menguruskan Tahfiz Bayu Syahadah di Kampung Bitoon di Ranau, Sabah berkata, dia kini giat mencari dana untuk menampung perbelanjaan membaik pulih pusat pendidikan berkenaan yang rosak akibat tanah mendap Nov tahun lalu.

Katanya, antara alternatif bagi menyelesaikan masalah itu adalah dengan berkecimpung semula dalam program persembahan nasyid seperti Konsert Nasyid Legenda tersebut.

“Jumlah kos pembaikan untuk peringkat awal bagi dua bangunan asrama, perbaiki rumah guru sebanyak RM300,000 tapi kalau pelan lengkap lebih RM1 juta termasuk untuk kelas, dewan makan, asrama baru, rumah guru, ruang perhimpunan.

"Sebelum ni memang saya tak uar-uarkan pasal kutipan dana sebab mungkin saya masih terkedu dengan ujian Tuhan,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS