Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-65 hari ini, pemain muzik klasik profesional dari India, Rajhesh Vaidhya berkongsi semangat patriotisme rakyat Malaysia dengan memainkan lagu Negaraku menggunakan veena.
Melalui hantaran dimuat naik penganjur konsert, Mediaberg Productions di Instagram, Vaidhya - yang berada di India ketika ini - dan memakai baju berwarna merah dilihat memetik veena sambil bersila seorang diri.
“Hello Malaysia, saya Rajhesh Vaidhya mengucapkan rakyat Malaysia, Selamat Hari Merdeka.
“Malaysia amat istimewa buat saya. Saya juga mempunyai ramai kenalan dan peminat di sana,” ujarnya melalui aplikasi pesanan ringkas WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini.
Perkongsian Vaidhya, 49, itu mengundang pelbagai respons positif peminat di Instagram, Facebook dan Tiktok.
Mengulas lanjut, Vaidhya berkata, dia tidak sabar untuk hadir ke Malaysia bagi mengadakan persembahan di negara ini selepas kali terakhir membuat konsert di Malaysian Independent Live Fusion Festival pada 2019.
Katanya, Konsert King of Veena Rajhesh Vaidhya; Feel The Strings yang dijadual berlangsung pada 20 Disember depan itu bertujuan untuk memecah rekodnya yang terdahulu.
Kali ini, Vaidhya berkata, dia akan cuba memainkan 100 lagu tanpa henti selama 100 minit atau kira-kira tiga jam.
“Saya tak sabar untuk membuat persembahan di Malaysia pada 17 Disember ini melalui konsert King of Veena Rajhesh Vaidhya; Feel The Strings.
“Dapatkan tiket anda bermula sekarang,” jelasnya.
Sebelum ini, pemuzik itu mencatat rekod dunia bermain alat muzik veena untuk 60 lagu tanpa henti selama 60 minit.
Pada masa sama, Vaidhya berkata, keterujaan untuk berkunjung ke Malaysia semula adalah disebabkan minatnya terhadap masakan negara ini terutama nasi lemak.
“Selain datang untuk konsert, saya amat menyukai masakan Malaysia terutama nasi lemak. Ia sungguh sedap. Sekali lagi selamat Hari Merdeka Malaysia, sayang kamu semua,” tuturnya.