Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ditidurkan dua kali, pengarah syukur dapat lihat karya jejak panggung

Berdepan dengan detik getir dan petanda maut kerana ditidurkan gara-gara Covid-19, pengarah Zulkarnain Azhar berkata, perkara pertama yang terlintas di fikirannya sebaik tersedar ialah filem Air Force The Movie yang ditukanginya.

“Filem aku dah ditayangkan ke?” soalnya pada diri sendiri.

Jelas Zulkarnain, sewaktu dijangkiti Covid-19 dan berada pada kategori lima itu, dia juga diintubasi sebanyak dua kali.

Menurutnya dia bercadang menayangkan filem Air Force The Movie pada 2021, tetapi ditakdirkan dijangkiti Covid-19 pada tahun yang sama. Malah keadaan kesihatannya merosot ketara akibat wabak tersebut.

Namun Zulkarnain berkata dia amat bersyukur kerana masih diberikan kesempatan pulih dan menyaksikan arahannya bersama Frank See itu akhirnya menjengah pawagam.

“Alhamdulillah, umur saya panjang lagi hingga filem hampir ditayangkan,” katanya yang ditemui selepas majlis pratonton Air Force The Movie: Selagi Bernyawa di di ibu kota kelmarin.

Filem itu berkisahkan Pasukan Khas Udara (Paskau) yang menjalankan misi kemanusiaan tetapi terkandas di Namburi - sebuah negara bergolak - selepas kapal terbang mereka ditembak.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kemudian berusaha untuk menyelamatkan anggota tentera dan orang awam yang terbabit.

Turut menjayakan filem itu ialah Adi Putra, Nas T, Pablo Amirul, Hakim Ridza, Jack Tan, Aiman Sara Ali, Johan As'ari dan Luqman Hafidz. Ia akan ditayangkan di 170 pawagam di seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula esok.

Kerja ‘orang gila’

Menurut Zulkarnain, banyak lagi cabaran lain terpaksa ditempuh pihak produksi untuk menyiapkan filem berkenaan sebaik proses praproduksi bermula pada 2018.

Dia yang juga pengarah serta penulis skrip filem J Revolusi berkata, ia bermula dengan proses menulis draf skrip yang memakan tempoh setahun kerana perlu mendapat persetujuan daripada TUDM.

“Apabila sampai pada draf ketujuh, TUDM menyarankan untuk memasukkan babak membabitkan bukan Paskau semata-mata.

“Selepas setahun, TUDM mempersetujui draf ke-16 dan kami memulakan penggambaran pada draf yang ke-20,” katanya.

Zulkarnain turut mendedahkan, produksi yang menggunakan lebih 500 pelakon itu berdepan masalah hujan lebat di beberapa lokasi penggambaran seperti Kota Belud, Kuantan, Pangkalan TUDM Gong Kedak dan Subang.

Katanya, hanya “orang gila” saja yang berani menjalankan penggambaran sewaktu musim hujan.

“Hujan antara cabaran terbesar filem ni. Saya minta pengarah seni buat babak di kem nampak berlumpur dan permintaan saya 'diterima' oleh Tuhan.

“Hujan turun selebat-lebatnya semasa itu hingga hampir membanjiri set kami.

"Ya akhirnya, saya memang dapat gambaran suasana berlumpur yang sebenar, bukan dibuat-buat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS