Pelakon Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Adi Putra akui masih terkilan serta memegang prinsip untuk tidak hadir ke Malam Gala Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta pada Jumaat ini.
Adi berkata, dia masih akan mempertimbangkan untuk muncul di sana sekiranya mendapat undangan secara peribadi daripada penganjur Indonesia.
“Saya memuat naik status tempoh hari selepas dua minggu cubaan menghubungi Studio Kembara tidak berjawab.
“Selepas status itu dimuat naik, saya akui pihak di sana cuba menghubungi saya sebanyak 11 kali tetapi saya memilih untuk tidak menjawab kerana berasa terkilan.
“Saya tak menyimpan hati sebaliknya meminta maaf dan berlapang dada kerana kita harus bersikap profesional dan berkata benar,” katanya.
Ditanya mengenai pembabitan dalam Mat Kilau 2, Adi berkata dia akan mempertimbangkan perkara itu.
Kata Adi, 41, semuanya terletak pada proses komunikasi yang baginya amat penting untuk melancarkan sesebuah hubungan antara pekerja dan majikan.
“Paling penting adalah komunikasi dan dari komunikasi akan berlanjutan kepada diskusi.
“Saya akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya dan bagi saya setiap yang berlaku ada pengajaran dan juga hikmah.
“Dari situ terbit satu iktibar dan seperti saya katakan akan pertimbangkan sewajarnya sama ada untuk laksanakan filem itu atau tidak,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton filem Air Force The Movie yang turut dilakonkannya di sebuah kompleks beli-belah, Kuala Lumpur hari ini.
Air Force The Movie: Selagi Bernyawa dijadual menjengah pawagam seluruh tanah air pada 25 Ogos ini.
Terdahulu, Adi berkongsi luahan hati melalui Instagram mendakwa dia sudah cuba menghibungi pihak penerbit namun gagal.
Justeru, katanya, dia berkata dia tidak akan hadir ke malam gala tersebut malah sempat berkata dalam nada sinikal untuk membelikan telefon bimbit kepada pihak penerbit.
Hantaran Adi turut mendapat perhatian pelakon Johan As'ari yang memegang watak sebagai Yasin dalam filem arahan Syamsul Yusof itu.
Johan dilihat meninggalkan respons di ruangan komen hantaran Adi yang membayangkan dia seolah-olah menyokong tindakan Adi.
Johan yang memegang watak Wahid dalam Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan - ketika ditemui pada majlis sama hari ini - dalam nada terkilan berkata, dia dimaklumkan oleh pengurusnya bahawa namanya digugurkan daripada senarai barisan pelakon yang akan memeriahkan majlis pelancaran filem itu di Jakarta.
Johan malah mempertikaikan mengapa perkataan “digugurkan” yang diguna oleh produksi sedangkan terdapat perkataan lain lebih elok.
“Saya tertanya-tanya mengapa mereka menggunakan perkataan digugurkan. Tak adakah perkataan lebih indah untuk digunakan?
“Saya anggap kelakar dan tak profesional. Sebenarnya jika saya tak pergi pun saya okey.
“Sekiranya saya dijemput oleh pengedar atau sosok figura dari sana pun saya okey malah tak kisah keluarkan perbelanjaan sendiri,” katanya.
Malaysiakini sudah menghubungi penerbit Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan untuk meminta penjelasan berkenaan isu terbabit.