Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Han Zalini takkan hadir tayangan gala Air Force The Movie

Demi "menghormati diri sendiri," pelakon Han Zalini berkata dia tidak akan menghadirkan diri pada majlis malam gala filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa yang dijadual berlangsung di Mid Valley, Kuala Lumpur malam ini.

Namun, pelakon tambahan itu menafikan langkah tersebut diambil kerana dia menyimpan dendam berhubung isu jemputan ke majlis pelancaran filem berkenaan.

Kata Han Zalini, tindakan itu diambil kerana berpendapat ia lebih wajar atas pertimbangan etika dan keadilan.

“Saya tak dapat hadirkan diri pada malam ni dan sudah maklumkan pada pengarah pada 19 Ogos lalu. Saya tak hadir bukan kerana saya ada dendam atau apa-apa.

“Ini adalah soal etika dalam kesenian dan ketidakadilan, jemputan itu pula berlaku secara mendadak selepas disuarakan.

“Jadi untuk saya menghormati diri saya sendiri, lebih baik saya tidak hadirkan diri,” katanya kepada Malaysiakini.

Kenyataan itu hadir selepas Malaysiakini menyiarkan rasa ralat Han Zalini selepas namanya tidak diundang bagi meraikan filem yang dilakonkan itu.

Kata pelakon terbabit, sebelum ini dia memang rasa teruja untuk menghadiri majlis berkenaan kerana menganggapnya peluang untuk melonjakkan karier pada masa depan.

Han Zalini juga berkata, hanya selepas keluhannya dizahirkan, barulah dia menerima jemputan tersebut.

Dia sebelum itu meluahkan kekecewaan melalui Twitter dengan menciap adakah namanya tidak semegah barisan pelakon lain hingga menyebabkan jemputan untuk ke malam pelancaran itu tidak sampai ke tangannya.

Bagaimanapun, penerbit filem tersebut, Josiah Chieng, menafikan berlaku pilih kasih malah pihaknya juga berdepan kesukaran bagi menghantar jemputan kepada kira-kira 800 kru produksi pada waktu serentak.

Han Zalini pada masa sama berkata, dia lebih selesa memilih untuk tidak muncul malam ini kerana enggan namanya disoroti untuk hal-hal yang tidak wajar.

Katanya, dia enggan sekiranya ia boleh menjejaskan pelancaran filem berkenaan.

“Saya tak mahu menganggu pandangan dan suasana persekitaran yang tidak molek semasa berlangsungnya acara itu daripada pihak saya dan juga beberapa pihak yang lain.

“Semoga dengan apa yang saya katakan ni, para karyawan yang lain ada kesedaran untuk saling menghargai antara satu sama lain waima peranan itu sekecil-kecil sumbangan di dalam sesebuah karya dan produksi.

“Sama-sama kita belajar dan mendukung antara satu sama lain agar lapangan ni tumbuh dengan mekar tanpa diperkecilkan daripada orang luar yang bukan berada di dalam lapangan ini,” tuturnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS