Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Nabil tak ralat terlepas konsert Billie Eilish

Nabil Ahmad menganggap kesilapan melihat tarikh konsert Billie Eilish Happier Than Ever The World Tour 2022 semalam sebagai petanda dari Allah SWT untuk menghindarnya daripada perkara-perkara lagha (melalaikan).

Walaupun terlepas peluang menyaksikan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil, sekali gus mengalami kerugian sebanyak RM2,540, pengacara dan pelawak itu berkata ada hikmah daripada perkara yang berlaku.

Dia malah bersetuju dengan pengguna alam maya yang berpendapat keluarganya terlepas daripada perkara melalaikan.

“Tidak dinafikan banyak komen yang saya terima menyatakan Allah lindungi sekeluarga dan itu juga peringatan untuk saya.

“Bila mereka kata begitu, saya pun rasa benda yang sama.

“Memang Allah nak mengelakkan kita daripada bersama dengan benda-benda macam itu,” katanya melalui aplikasi WhatsApp hari ini.

Nabil, 38, menjelaskan dia membeli lima tiket berharga RM508 setiap satu kerana dia sekeluarga tidak pernah menonton konsert.

Katanya, sebelum ini dia hanya ke pementasan Disneyland bersama anak-anak.

“Sebenarnya saya beli tiket di bahagian tempat duduk yang orang cakap jauh daripada pentas.

“Jadi bila mereka dah besar, saya nak ajak mereka rasai konsert artis antarabangsa.

“Lagipun ini bakal menjadi pengalaman pertama kami sekeluarga,” tuturnya.,

Tambahnya, dia sendiri mahu menyaksikan produksi antarabangsa bekerja dan mengendalikan konsert tersebut.

Terdahulu, melalui TikTok Era, Nabil dirakam jatuh terduduk sebaik mengetahui dirinya terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM2,540 kerana menyangka konsert itu berlangsung selama dua malam.

Dia menyangka konsert penyanyi yang pernah memenangi tujuh Anugerah Grammy itu berlangsung selama dua malam.

“Ya Allah betul saya tak perasan tarikh sebab benda itu tak berapa penting.

“Saya beli kelmarin sebab anak-anak yang nak. Tapi sebelum tu anak ada beritahu kawannya pergi semalam jadi saya menyangka tiket kami untuk Jumaat.

“Saya sebenarnya terkeliru antara malam Jumaat dengan hari Jumaat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS