Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pelakon terkilan tak dijemput hadiri malam pelancaran filem

Apa masalah yang berlaku di sebalik produksi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa apabila ada pelakon tambahan mendakwa dirinya tidak menerima sebarang jemputan di majlis pelancaran filem tersebut?

Bukan sekadar itu, Han Zalini berkata, menambah kekecewaannya ialah apabila rasa terkilan itu hanya mendapat perhatian pihak yang berkenaan selepas dia memuat naik hantaran mengenainya di media sosial semalam.

“Saya sangat terkilan dan ralat apabila tak diundang ke majlis tayangan pratonton pada 22 Ogos ni, sedangkan beberapa pelakon lain mengakui ada terima jemputan sejak Julai lalu.

“Saya bukan jenis suka heboh perkara begini di media sosial tapi dah tunggu jemputan tak dapat-dapat hinggalah pengurus cadangkan untuk kongsi luahan di media sosial semalam.

“Saya tambah kecewa sebab saya orang baru dan harap filem itu jadi penggerak momentum untuk saya pergi jauh dalam industri filem tanah air,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Jelas Han Zalini, susulan isu berbangkit itu, dia menerima panggilan telefon dan mesej langsung (DM) bertalu-talu di Instagram daripada individu yang diberi tugas untuk membawa jemputan.

Namun, katanya, disebabkan masih tawar hati, dia belum bersedia untuk memberi respons kepada mana-mana pihak.

“Hingga kini saya masih belum beri respons untuk segala DM atau panggilan selepas hantaran tu disiarkan dan dihubungi penerbit.

"Adakah isu ni hanya dipandang selepas saya dedahkan?" katanya.

Menurut Han Zalini tindakan meluahkan rasa terkilan itu bukanlah bermakna dia mahu disanjung atau dilayan istimewa.

Sanggup beli tiket

Katanya selepas berhempas-pulas menjayakan filem tersebut, dia hanya mahu meraikan hasil yang diberikan. Dia juga berpendapat kalau tidak disuarakan, mungkin kehadirannya dalam dunia perfileman tidak akan dipandang selamanya.

“Saya tahu saya bukan nama-nama besar, tapi sekurang-kurang harus ada sedikit apresiasi. Orang kita sering berdebat isu apresiasi, tapi kita tidak meraikan hal itu,” luahnya.

Terdahulu, ciapan Han mengundang perhatian ramai, termasuk pengarah filem, Al Jafree Md Yusop.

Dalam ciapan itu, Han Zalini mempersoalkan adakah disebabkan dirinya tidak popular maka tiada jemputan dibuat untuk dia menghadiri malam gala tersebut.

Pada masa sama Han Zalini menegaskan, isu itu diluahkan secara terbuka bukan kerana dia mendesak mana-mana pihak memberikannya tiket lebih untuk ke majlis berkenaan.

Dia juga berkata, andainya perlu dia juga tidak ada masalah untuk membeli membeli tiket untuk menonton filem tersebut demi menyokong rakan-rakan lain terbabit dalam pembikinannya.

“Ada juga rakan artis yang sudi berkongsi tiket, cuma saya belum beri jawapan. Biarlah dulu, mungkin saya perlu masa untuk tenangkan diri.

“Tapi harus saya tegaskan, ini tiada kaitan dengan saya meminta peruntukan sama ada satu, dua atau tiga tiket untuk kerusi lebih ya,” katanya.

Bagaimanapun kata Han Zalini, 31, dia tidak menyalahkan pihak produksi mahupun penerbit yang mungkin terlepas pandang mengenai isu jemputan tersebut.

Menurutnya, dia cuba berfikiran positif kerana beranggapan jemputan untuk pelakon utama dan pelakon tambahan diuruskan oleh pihak yang berbeza.

“Sebenarnya, saya tak mahu orang pandang negatif pada saya sebab masih baru dalam industri dan berharap tiada lagi isu begini berlaku dengan produksi lain.

“Yalah, ada pelakon lain pun berkata: Takkanlah saya nak beli tiket untuk tengok muka sendiri," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi syarikat produksi terbabit bagi mendapatkan reaksi mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS