Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
ULASAN | Mencari yang lebih seram dari dua Pengabdi Setan

ULASAN FILEM | Apabila ada sesebuah filem menampilkan sekuel, sudah pasti perbandingan akan dibuat. Jika filem itu bergenre seram, perbandingan yang akan dibuat ialah naskhah manakah lebih menakutkan.

Namun tidak sukar untuk membuat perbandingan sekiranya peminat terlebih dulu menjadi ‘pengikut setia’ Pengabdi Setan (Satan’s Slave) arahan Joko Anwar yang ditayangkan di layar perak pada 2017.

Peminat pasti tidak sabar-sabar menantikan naskhah garapan Joko Anwar yang seterusnya kerana ingin mengetahui kisah silam dan misteri melatari kehidupan keluarga penyanyi popular bernama Mawarni Suwono.

Tidak lagi terkenal, Mawarni diserang penyakit yang tidak diketahui penyebabnya. Penyakit dihidapi itu sangat parah hingga membuatkan penyanyi terbabit tidak dapat menggerakkan tubuhnya, justeru dia hanya berbaring di tempat tidur.

Untuk memanggil bantuan, Mawarni harus membunyikan loceng.

Dari situ, Joko Anwar bijak mengolah semula karya remake 1980-an arahan Sisworo Gautama Putra itu dengan mencipta momen-momen menyeramkan berpaksi pada karakter Mawarni yang dikatakan sukar untuk melahirkan zuriat.

Demi merealisasikan hajatnya, Mawarni menyertai kultus penyembah syaitan (pengabdi setan). Namun sebagai syarat, anak bongsunya, Ian akan diambil sebaik usianya mencecah 7 tahun.

Selepas Pengabdi Setan (Satan’s Slave) meraih kejayaan, Joko tidak membuang masa. Lima tahun kemudian, dia hadir dengan buah tangan terbaru berjudul Pengabdi Setan 2: Communion pula.

Betulkah seram?

Pengabdi Setan 2: Communion merungkai lebih lanjut misteri di sebalik kehidupan Bahri Suwono atau Bapak yang tidak diketahui tiga anaknya, Rini, Toni dan Bondi.

Naskhah itu ditayangkan di panggung tanah air bermula 11 Ogos lalu.

Paksi seram pada Mawarni

Sepanjang 119 minit, Pengabdi Setan 2: Communion menceritakan lebih lanjut kejadian susulan selepas ketiga-tiga anak Bahri mengalami episod duka kematian si ibu dan kehilangan Ian sebaik berpindah dari Rumah Tua Pangalengan ke kediaman baru.

Joko Anwar menyusun satu persatu detik seram dan kejutan (jump scare) bermula dari lokasi kediaman bangunan usang yang terbengkalai selama 15 tahun di belakang Pasar Sumber Arta, Bintara Jaya, Bekasi Barat.

Dikenali di Indonesia sebagai rusun (rumah susun) yang pembinaannya tergendala pada 2009, lokasi itu sempat menjadi buah mulut ramai malah tular selepas berlangsung penggambaran Pengabdi Setan 2: Communion.

Selain Rini, turut tinggal di pangsapuri itu ialah beberapa keluarga lain namun persoalan mulai timbul apabila ada antara mereka yang berkelakuan aneh serta ghaib secara misteri.

Filem itu terlebih dulu dibuka dengan prolog memaparkan kultus pemujaan syaitan yang sebenarnya sudah wujud sejak 1950-an. Antara yang menganggotai kultus itu ialah orang kenamaan dari seluruh dunia.

Amat mudah untuk seorang peminat karya Joko Anwar berasakan Pengabdi Setan (Satan’s Slave) lebih menyeramkan berbanding Pengabdi Setan 2: Communion kerana banyak babak seram berpaksikan pada watak Mawarni dan ketika dia membunyikan loceng.

Rumah Tua Pangalengan yang terletak di kawasan kebun di Kampung Kertamanah, Desa Margamuksi, Pangalengan, Bandung itu juga bukan setakat memberi kesan rumah usang tetapi perasaan seram kerana didominasi kayu-kayu lama.

Bagaimanapun, secara peribadi, yang menggagalkan secara keseluruhan mood seram dalam Pengabdi Setan (Satans’ Slave) itu berpunca daripada kelibat mayat hidup yang tiba-tiba berpusu-pusu ke rumah Rini pada penghujung cerita.

Ia sekali gus menghancurkan mood apabila nampak melucukan selain gambaran diberikan tidak realistik.

Namun, Joko Anwar kembali dengan banyak aspek pembaharuan dalam Pengabdi Setan 2: Communion terutama dari segi peranannya bermain dengan suasana seram.

Kelebihan Pengabdi Setan 2: Communion ada pada rusun itu yang ditinggalkan tanpa penghuni selama 15 tahun.

Pangsapuri itu digambarkan sengaja dibina bagi menempatkan calon-calon kepada ritual pemujaan syaitan dalam filem tersebut.

Ada misteri yang dikekalkan

Jalan cerita kemudian dibina perlahan-lahan menuju pada pengakhiran yang baik. Joko Anwar pada masa sama menyelitkan beberapa babak berunsur komedi.

Itu mungkin salah satu aspek membuatkan peminat lebih memilih Pengabdi Setan (Satan’s Slave) sebagai naskhah yang lebih menyeramkan.

Namun, banyak juga unsur kejutan berbeza dan aspek teknikal ditambah baik berbanding Pengabdi Setan (Satan’s Slave).

Cuma, watak Bapak dan pocong tidak dimanfaatkan dengan baik apabila tiada pengembangan karakter lebih mendalam di situ.

Sekuel itu juga masih mengekalkan misteri salah satu watak di hujung filem iaitu Batar dan Darminah.

Masih mengekalkan kebanyakan pelakon daripada filem pertama seperti Tara Basro, Bront Palarae, Endy Arfian, Ayu Laksmi dan Muhammad Adhiyat, sekuel itu turut membawakan muka baru iaitu Jourdy Pranata serta Ratu Felisha.

Adakah Pengabdi Setan 2: Communion akan mengulangi prestasi Pengabdi Setan yang terdahulu? Jawapannya terserah pada anda yang masih belum menonton filem itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS