Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Zizi Kirana tak nak lagi nyanyi 'lagu nakal' tapi tumpu ketuhanan

Selepas tekal bertudung, Zizi Kirana kini berhasrat untuk muncul pula dengan lagu-lagu berunsur ketuhanan dan dakwah buat peminat.

Untuk merealisasikan impiannya itu, penyanyi berkenaan berkata, dia tidak lagi boleh menyanyi atau menyampaikan mesej seperti dalam lagu-lagunya yang terdahulu.

“Apabila dah bertudung, saya harus memilih lagu bersesuaian untuk disampaikan kepada peminat. Saya tak mahu nyanyi lagu nakal-nakal lagi dah.

“Sekarang sebaik saya keluar rumah, saya akan bawa nama baik suami dan keluarga. Lagipun, usia pun dan hampir 40 tahun.

“Dan dengan imej sekarang, takkanlah nak nyanyi lagu macam Siapa Yang Bap Bap atau Nakketaknak lagi,” maklumnya.

Penyanyi yang juga terkenal melalui lagu Eh! itu berkata, lagu-lagu yang akan dibawakannya selepas ini biarlah selari dengan imejnya yang bertudung.

Tambahnya, suatu ketika dulu dia pernah memasang impian untuk membawa lagu-lagu seperti dibawa penyanyi lagu kerohanian terkenal dunia, Maher Zain dan Sami Yusuf.

“Saya merancang untuk keluarkan lagu-lagu macam tu dalam percubaan tahun depan. Saya selesa lagu ala-ala Arab dan World Music.

“Pernah juga saya bercita-cita nak jadi seperti penyanyi Waheeda yang nyanyi lagu Wassini,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada awalnya, Zizi, 37, sering dilihat bertudung pada Ramadan kerana menghormati bulan mulia itu. Dia akhirnya secara serius mengenakan hijab pada tahun lalu.

Mengulas senario kerja nyanyiannya sekarang, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu berkata, beberapa pihak penganjur setakat ini menghormati perubahan imej yang dibawakannya kini.

Menurutnya, dia bersyukur kerana kerjaya nyanyiannya dipermudahkan selepas berhijab.

“Saya rasa peminat faham, penganjur pun faham. Mereka tak minta pun saya nyanyikan lagu yang tak sesuai.

“Saya memang tak nak nyanyi dah misalnya lagu Siapa Yang Bap Bap tu lagi,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS