Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazura bergantung pada pil tahan sakit gara-gara tulang kaki retak

Gara-gara insiden tersadung besi lampu sorot, tulang kaki kiri Nur Fazura mengalami keretakan dan memaksa dia bergantung kepada pil penahan sakit sejak dua minggu lalu.

Menurut pelakon dan penyanyi itu, dia dinasihatkan oleh doktor untuk memakai pendakap gentian kaca bagi mengelakkan keadaan kakinya yang membengkak itu menjadi lebih teruk.

“Entah macam mana boleh tak perasan (hingga tersadung kaki). Memang sakit namun pada awal saya sangka tiada apa-apa yang serius.

“Tak lama selepas tu kaki kiri saya mula jadi kebiru-biruan serta membengkak.

“Apabila suami bawa berjumpa doktor, saya dimaklumkan ada retakan dan diminta memakai pendakap fiber glass,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Fazura, 38, berkata demi komitmen kerja dia terpaksa mengingkari nasihat diberikan doktor itu buat sementara waktu.

Menurut isteri pelakon Fattah Amin itu, alasannya, kerana perlu ‘terbang’ ke Jakarta, Indonesia dalam waktu terdekat demi memenuhi undangan kerja.

“Saya sepatutnya tak boleh nak lasak sangat. Lepas pulang ke Malaysia akan buat rawatan susulan,” katanya.

Pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin itu ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Faztival Fazura 2022 di sebuah hotel di ibu kota, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, pelakon Gol & Gincu itu yang sering memakai kasut bertumit tinggi dilihat tampil dengan kasut bertumit rata hingga disangkakan sedang berbadan dua.

Bagaimanapun, Nur Fazura yang juga pelakon Kami Histeria itu menafikan dia kini sedang hamil anak kedua dan menjelaskan penampilannya berkasut sukan itu ekoran kakinya cedera.

Kata Nur Fazura dia dan Fattah memang merancang untuk menambah zuriat selepas merealisasikan beberapa projek ketika ini.

“Mungkin hujung tahun lah kut. Kalau boleh nak sepasang, lelaki dan perempuan.

“Tapi rezeki Allah, kami terima saja mana-mana dan berharap mereka membesar menjadi anak yang soleh dan solehah,” jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS