Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penaja AJL36 nafi tuduhan kahwin suami kerana duit
Diterbitkan:  Aug 13, 2022 2:14 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

“Cuba laki (suami) pakai kereta (Proton) Wira buruk dah lama bini (isteri) lari.”

Demikian tuduhan netizen yang ditujukan kepada penaja Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36), Eriyca Baiduri di aplikasi TikTok hingga tular.

Bagaimanapun, usahawan yang lebih mesra disapa ‘Madammu’ itu tampil menafikan dakwaan terbabit dengan berkata, ketika dia mengahwini Azri, suaminya itu bukan seorang yang kaya raya.

“Sebenarnya saya taklah marah dan geram. Saya faham, tak semua orang kenal dan tahu cerita kita.

“Cuma, apa yang saya boleh katakan, saya dengan suami ini kami berkahwin daripada tak ada apa apa dan bermula daripada sederhana.

“Tak semua perempuan berkahwin sebab duit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Eriyca, dia mempunyai alasan mengapa Azri, 44, yang dipilih sebagai suami.

Katanya, Azri diyakini seorang lelaki yang baik serta boleh membahagiakannya.

“Saya tahu rezeki boleh dicari kemudian dan boleh cari bersama-sama.

“Alhamdulillah, hari ini daripada kami biasa-biasa kami dapat mencapai apa yang kami nak.

“Sebab itu dalam rumah tangga ini niatnya kena betul. Jadi, saya okay saja dengan netizen itu,” katanya.

Terdahulu, Eriyca membalas pertanyaan pengguna itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di TikTok yang memaparkan dirinya bersama suami di dalam kereta.

Hantaran video itu mencecah lebih 1.1 juta tontonan, mendapat lebih 51,000 tanda suka, lebih 1200 komen dan lebih 600 perkongsian semula.

Menurut Eriyca, dia dan suami bermula dari tinggal di rumah sewa hingga dapat membeli rumah sendiri selain dapat membina empayar perniagaan jenama Noir Health & Beauty (Noir).

Akuinya, kehidupan dulu tidaklah semewah hari ini.

“Dari kami duduk rumah sewa kami beli rumah. Perlahan-lahan perniagaan makin berkembang dan maju.

“Jadi jika ada yang kata saya kahwin sebab duit itu salah. Saya faham, netizen suka buat andaian dan bercakap apa yang mereka fikir,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS