Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dr Idzu Baharin ubat rindu menyanyi melalui dakwah
Diterbitkan:  Aug 12, 2022 12:45 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Penyanyi kumpulan nasyid Saujana, Dr Idzu Baharin mengaku ingin aktif semula dalam nyanyian, selepas 16 tahun berehat daripada industri muzik bagi memberi tumpuan kepada kerjaya dalam bidang perubatan.

Menurut Idzu Baharin, minat dan cintanya terhadap bidang nyanyian tidak pernah padam.

Malah, kata penyanyi Sepohon Kayu itu, kerjaya yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu masih relevan seiring dengan perniagaan dibina menerusi Cell Tissue Technology Sdn Bhd.

“Kalau nak kata senyap itu saya lebih fokus kepada memulakan kerjaya dalam bidang perubatan. Selepas beberapa tahun, saya masuk bidang penyelidikan dan pengilangan.

“Boleh dikatakan sibuk dengan kerja sampailah saya masuk ke dalam bisnes pula. Minat dalam nyanyian itu masih ada cuma tak aktif macam zaman dulu.

“Tapi sejak aktif dalam bisnes, masa itu ada. Jadi bolehlah saya kembali semula dunia nyanyian,” katanya dalam kenyataan.

Menurut pemilik nama penuh Khairul Idzwan Baharin itu, dia ingin kembali aktif bukan untuk mengejar kemasyhuran semata-mata, tetapi ingin berkongsi karya dengan peminat yang setia bersama dirinya dan Saujana serta peminat generasi baru yang mula mengenali mereka.

“Umur sudah lebih 40 tahun. Jadi, bukan lagi untuk kemasyhuran tapi lebih untuk berkongsi karya serta jumpa peminat baru yang kenal saya melalui media sosial.

“Waktu itu mungkin mereka belum lahir atau masih kecil. Jadi mereka belum kenal saya. Ini adalah kelompok peminat baru yang saya mula nak kenal sejak aktif dalam media sosial.

“Boleh dikatakan, sebab kemunculan sebenarnya lebih kepada mengubat kerinduan. Saya rindu nak menyanyi,” katanya lagi.

Kini, Idzu Baharin kembali menerusi single Ku Serah hasil ciptaannya bersama Ahmad Jeffny. Lagu berkonsepkan ketuhanan terbitan Kharisma Music itu turut mangandungi unsur R&B.

Berkongsi mengenai Ku Serah, Idzu Baharin berkata penghasilan lagu itu lebih kepada mahu mengajak peminat mengimbau kembali perjalanannya sebagai anak seni ketika mula bersama Saujana.

“Kebetulan saya baru meraikan hari jadi, saya rasa macam lebih matang sekarang. Kematangan itu membuatkan saya rasa macam nak selesaikan beberapa perkara.

“Bila dah semakin berumur ini sudah tentu perasaan itu lebih kepada nak memperbaiki diri. Jadi, saya lebih nak memberi motivasi kepada pendengar,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS