Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Rhythm of Legends himpun artis terkenal, bantu golongan memerlukan

Pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 2019 memberi impak besar dari segi ekonomi dan kehidupan harian rakyat dalam negara justeru, ramai yang terjejas hingga ada antaranya hidup menderita.

Bukan setakat itu, banjir besar melanda di beberapa negeri pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini juga cukup meresahkan.

Bersimpati dengan nasib yang menimpa, syarikat pengurusan acara CS Excellent dengan kerjasama pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Drug Free Malaysia tampil menganjurkan persembahan amal Rhythm of Legends yang bakal berlangsung di Dewan Plenary KLCC, jam 8.30 malam, pada 29 dan 30 Oktober depan.

Pengarah Urusan CS Excellent, Marinatasha Mustapar berkata, tujuan dan matlamat utama konsert Rhythm of Legends diadakan adalah untuk mengutip dana bagi disalurkan kepada enam NGO, tabung amal, banjir, golongan asnaf termasuk artis veteran.

Menurutnya, melalui kolaborasi dengan NGO Drug Free Malaysia itu, pihaknya menyasarkan 50 peratus hasil kutipan konsert untuk disalurkan kepada enam badan NGO, tabung amal, tabung banjir dan asnaf. 

“Tidak dilupakan juga, golongan artis veteran yang terkesan sama kerana kita tahu, mereka ini juga antara yang turut melalui fasa kesukaran sama. 

“Jadi, kita tidak mahu melupakan mereka. Dengan adanya persembahan amal ini sedikit sebanyak dapat membantu dan berkongsi rezeki dengan banyak pihak. 

“Pendek kata, sumbangan yang bakal disalurkan adalah menyeluruh,” katanya pada sidang media diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Konsert  amal Rhythm Of Legends itu bakal menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Hattan, Zamani, Mawi, One Nation Emcee, Asmidar dan Rojer Kajol.

Ia adalah persembahan kedua terbesar dianjurkan CS Excellent. Kali pertama syarikat itu menjalankan acara sama, Rock The City di Melaka iaitu pada 2020 membabitkan membabitkan artis seperti Caprice, Hujan,MK Clique, Joe Flizzow.

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Marinatasha yang juga pengarah program bagi konsert Rhythm of Legends berkata, sebelum ini ramai artis dijemput.

Namun menurutnya, yang tersenarai saja berkelapangan untuk menyertai persembahan selama dua hari itu.

“Mereka juga berminat untuk sama-sama terbabit bagi membantu dan beramal.

“Dari segi persembahan, pihak penganjur menetapkan konsep dimana persembahan akan diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan Yazid Zakaria. 

“Selain lagu-lagu  popular daripada koleksi album artis  itu sendiri, mereka akan menyampaikan lagu-lagu popular artis  terkemuka yang lain  dengan gabungan elemen alat muzik moden dan tradisional yang menjadi kepakaran OTM dan pastinya akan memberi suatu kelainan dan kepuasan kepada penonton,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS