Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Penerbit kerugian RM600,000 demi lunaskan amanah Demi

Susulan dunia diancam penularan Covid-19 ketika menjalani penggambaran di Inverness, Scotland, pada 2020, produksi drama bersiri Demi mendakwa mereka terpaksa menanggung kerugian hampir RM600,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Elisa Vision Sdn Bhd yang juga penerbit drama Demi, Mahfuzah Zakkiah Abdain, berkata pun begitu dia pasrah apabila diuji pelbagai dugaan akibat pandemik.

Menurutnya, antara kekangan yang timbul adalah produksi terpaksa menghentikan penggambaran yang sepatutnya berlangsung selama 30 hari.

Demi dihasilkan dengan penuh ranjau dan duri kerana ketika tu seluruh dunia diserang wabak Covid-19 hingga menyebabkan penggambaran drama 26 episod ini beberapa kali tertangguh.

“Cuba bayangkan ketika saya bawa pasukan produksi ke Inverness pada 2020, penggambaran sepatutnya mengambil masa selama 30 hari. Malangnya, kami berada di sana selama 10 hari saja.

“Kerana itu saya perlu keluar belanja tambahan untuk membeli tiket penerbangan pulang untuk kru dan pelakon terlibat kerana jadual penerbangan asal dibatalkan,” katanya.

Bukan setakat itu, Mahfuzah memberitahu, penggambaran juga terpaksa ditangguh untuk selama setahun.

Pada masa sama, katanya, produksi perlu menjalani penggambaran semula untuk beberapa babak atas alasan-alasan tertentu termasuk ada seorang pelakon menarik diri.

“Selain itu, kami terpaksa mencari lokasi tempatan yang sesuai untuk digambarkan seperti di luar negara.

"Kami kemudian memilih Cameron Highlands dan Bukit Fraser sebagai lokasi,” katanya ketika berucap pada sidang media pelancaran Demi di Kuala Lumpur semalam.

Tambahnya, kerja-kerja penggambaran siap sepenuhnya pada Jan lalu selepas memakan masa dua tahun.

Hargai peluang diberi RTM

Untuk rekod, cabaran lain perlu didepani Demi ialah apabila 14 daripada 18 kru produksi yang menjalani penggambaran arahan Rahila Ali itu dijangkiti Covid-19 selepas tiba ke tanah air.

Demi menampilkan lakonan seperti Puteri Aishah, Keith Foo dan Ashraf Muslim selaku peneraju utama.

Ia berkisahkan kecekalan seorang ibu, Suraya, yang dilayan buruk oleh suaminya. Dia berusaha memelihara akidah keluarga selepas suaminya memilih murtad.

Naskhah berkenaan dijadual menemui pentonton pada jam 9 malam setiap Selasa hingga Jumaat di saluran TV Okey dan Astro 146 mulai 10 Ogos ini.

Walaupun terpaksa menanggung kerugian besar, Mahfuzah berkata, dia tetap tidak mahu menghampakan stesen penyiar iaitu RTM kerana memberi sepenuh kepercayaan untuk menyiapkan naskhah berkenaan.

“Apa yang lebih penting bagi saya ialah amanah yang harus saya laksanakan dengan mengambil kira budi baik RTM menyediakan slot untuk drama ini.

“Saya lebih menghargai peluang terhadap saya dan Elissa Vision berbanding memikirkan keuntungan semata-mata.

“Pihak RTM sanggup menunggu drama ini untuk disiapkan walaupun memakan masa dua tahun lamanya,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS