Ibu biduanita negara Allahyarhamah Sharifah Aini meninggal dunia akibat penyakit radang paru-paru di sebuah hospital di Singapura, awal pagi tadi.
Berita pemergian Sharifah Noor Syed Ahmad Al-Attas itu disahkan oleh cucunya.
Menurut Aliff, arwah neneknya itu menghembuskan nafas terakhir ketika usianya mencecah 88 tahun di hospital, awal pagi ini.
“Saya diberitahu arwah menghidap penyakit radang paru-paru dan dimasukkan ke hospital, sebelum menghembuskan nafas terakhir, hari ini.
“Saya sudah lama tidak menemui arwah yang menetap di Singapura, tapi sentiasa berhubung menerusi panggilan video untuk bertanya khabar.
“Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan insan beriman serta beramal soleh,” katanya dipetik BH Online.
Sementara itu, rakan baik Sharifah Aini, Rosman Jasmi berkata, arwah pernah ditimpa kemalangan yang mengakibatkannya cedera dan patah.
“Arwah selalu berulang-alik ke masjid dengan menaiki bas.
“Satu hari, bas dinaiki mendapat kemalangan. Arwah yang berada dalam bas terjatuh dan cedera. Keadaannya agak teruk kerana ada anggota badan yang patah.
“Sejak itu, keadaan kesihatan arwah mula merosot,” katanya.
Tambahnya, keadaan arwah juga sudah tidak sihat sejak pemergian Sharifah Aini.
“Arwah memberitahu saya keadaannya uzur ketika menghadiri majlis pengebumian arwah Sharifah Aini, lapan tahun lalu.
“Malah, arwah pengsan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur,” katanya.