Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pyanhabib: Sajak membahagiakan 'gua' sejak dulu

WAWANCARA | "Tak pernah duga. Gua ni kalau tak diberi anugerah pun tak apa.

"Ha, diberi atau tidak, gua makan nasi macam biasa juga," tutur Pyanhabib yang menerima anugerah Tokoh Puisi Kuala Lumpur 2022.

Anugerah itu - yang disampaikan kepadanya pada 22 Julai lalu - membawa gelaran Penyair Kuala Lumpur buat Pyanhabib.

Pyanhabib sudah sinonim dengan Kuala Lumpur sejak 40 tahun lalu. Dia merupakan seniman jalanan yang mencari suara dan meluahkan suara luka di kota kosmopolitan. Dia penyair yang mandiri dan memiliki stamina seni luar biasa.

Sejak era Kuala Lumpur diwarnakan dengan bas mini, Pasar Budaya, gerai benteng dan Rumah Anak Alam di Persiaran Tun Ismail, Pyanbabib adalah penyair tulen yang mencatat kerenah ibu kota dengan luka dan lara.

Bergelar seniman mandiri, Pyanhabib tidak pernah mengharapkan sebarang anugerah. Sajak Pyanhabib hanya untuk menjejak kehidupan, bukan digunakan sebagai bahan merebut anugerah atau gelaran.

"Istimewanya anugerah itu barangkali adalah kepada pihak yang memberi dan ikhlas memberinya. Gua tidak fikir gua memerlukan anugerah.

"Sudah dipilih dan ia diberi untuk bidang yang gua masuki makanya ikhlaslah gua terima. Gua pun berterima kasih kepada mereka yang ikhlas memilih,'' akui Pyanhabib.

Seniman tulen memang fokusnya hanya kepada karya dan proses pengkaryaan. Insan seni seperti Pyanhabib tidak menganggap anugerah boleh membahagiakan seseorang penyair. Memadai karya diterima oleh khalayak, itulah bahagia.

Sejak empat dekad kehadiran Pyanhabib di atas pentas membaca sajak, dia sentiasa menjadi tumpuan ramai. Dia leader untuk pentasnya. Majlis yang meriah akan menjadi lebih meriah oleh suara, telatah dan aksi Pyanhabib.

Tak hantar sajak ke mana-mana

Mungkin kelebihan Pyanhabib ialah kepelbagaian seni yang ada padanya berbanding penyair lain. Pyanhabib adalah pelakon yang melakonkan manusia tipikal Kuala Lumpur dengan segala kerenah dan dugaan. Filem lakonannya adalah suara dan watak Pyanhabib mencari jati diri seni.

"Untuk gua cukuplah bergelar 'penulis' atau 'penyair' kerana ini memang angan-angan gua. Gua tidak berangan-angan untuk jadi lebih daripada itu, seperti tiba-tiba mereka anugerahkan tokoh Penyair Kuala Lumpur.

"Anugerah dalam bidang penulisan tidak semestinya jadi keperluan untuk kekal menulis," katanya lagi.

Pyanhabib bukan elit seni. Pyanhabib hanya penyair tulen yang merakyat. Bagaimana Pyanhabib boleh bertahan sejak 1980-an ketika ramai rakan segenerasinya kini tidak lagi berkarya atau bertukar arah?

"Syok. Gua syok menulis. Lagi syok apabila dijemput membacanya di depan khalayak. Gua dapat lepaskan syok gua. Menulis dan membaca sajak seakan-akan terapi untuk gua sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

"Sejak berpuluh tahun juga gua tidak menghantar sajak-sajak untuk siaran mana-mana majalah sastera atau akhbar mingguan. Gua menulis dan membaca langsung di depan khalayak apabila dijemput.

"Gua masih begitu sehingga hari ini. Sajak-sajak yang gua tulis dan bacakan itu semuanya tentang hal-hal yang berlaku di sekeliling, hal-hal tentang 'masalah negara', ha ha!" katanya.

Tak tahu judul, pengarah

Pyanhabib ternyata bahagia dengan apa yang dilakukannya. Lebih membahagiakan apabila sajak itu dimengerti dan mesejnya diterima dan difahami.

"Sajak membahagiakan gua sejak dahulu sehingga kini. Menulis sajak dan menjadi penulis adalah angan-angan gua dan gua bahagia dengan angan-angan saja," akui Pyanhabib.

Penyair dan pelakon itu juga mengakui seni ada waktunya datang secara tiba-tiba. Bagai ilham, ia boleh datang tiba-tiba, dan pergi juga secara tiba-tiba.

Filem, katanya, adalah bidang yang bukan diangan-angankan tetapi ia datang sendiri. Sehingga kini Pyanhabib sudah terlibat dengan hampir 10 filem.

Sejak 1980-an katanya dia juga terlibat dalam beberapa drama TV tetapi ia melibatkan kemunculan sebagai pembaca sajak. Menariknya ada antara drama itu tidak ditontonnya.

Malah tambah Pyanhabib dia kadang-kadang tidak tahu atau lupa judul dan pengarah drama tersebut.

"Dibayar atau tidak pun, gua tak tahu, hah ha!" katanya lagi.

Menceritakan pengalamannya Pyanhabib memberitahu dia pernah diajak untuk berlakon dalam dua telemovie membabitkan dua pengarah ternama.

Namun ada yang dirasakan tidak tuntas dengan tawaran tersebut.

Satu daripadanya, kata Pyanhabib, dia dijanjikan bayaran RM250. Satu telemovie lagi, katanya, dijanjikan bayaran RM150.

"Yang RM250 tu shooting di Kuala Selangor, gua kena pergi guna transport sendiri. Akhirnya gua maki saja!" katanya.

Pernah membaca sajak di bawah tiang lampu pada dekad 1980-an. Pernah mundar-mandir 'mencari suara' di tengah kesibukan kota. Itu antara latar yang membawa Pyanhabib dikenali juga dengan gelaran penyair bawah tiang lampu.

"Itu bukan di bawah tiang lampu. Kedudukan gua sebenar ialah di sisi tiang lampu," katanya.

Menurut asal-usulnya, kata Pyanhabib, dia bersendirian membaca sajak sambil menjual buku di depan bangunan Coliseum Jalan Tuanku Abdul Rahman, di tengah Kuala Lumpur.

Ajak Imuda ikut sama

Di situ, katanya, dia menumpang tapak seorang pelukis, Jalaini Abu Hassan.

Turut melukis di situ, cerita Pyanhabib, ialah Aris Aziz dan kawan-kawan mereka.

"Suatu malam petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tak benarkan, maka gua ke Pasar Seni (Pasar Budaya) yang siangnya dirasmikan Rafidah Aziz.

"Mulanya gua baca di dalam, tapi gua disuruh keluar. Gua kemudian baca sajak dekat pintu depan, di atas pasu bunga besar.

"Gua ternampak Imuda, gua ajak Imuda dan kami sama-sama baca sajak dan kemudian berpindah sisi tiang lampu dekat jambatan ke Dayabumi.

"Itulah asal mulanya baca sajak di situ pada setiap petang hingga disertai kawan-kawan yang mulanya takut-takut dan malu-malu. Alhamdulillah, duit jual buku Saraf itu gua amal jariahkan minum petang dan roti canai kari ikan pada mereka," katanya.

Pyanhabib dilahirkan di Taiping, Perak pada 27 Mei 1958 dengan nama Mohd Supyan Abdul Rahman.

Pada 1973 dia bercita-cita menjadi penyair, bercita-cita menjadi orang yang menulis puisi. Pada usia 15 tahun, Pyanhabib mengambil giliran membaca akhbar bertulisan Jawi, Utusan Zaman, di kedai runcit di kampung.

Kini nama Pyanhabib tidak perlu diperkenalkan lagi. Ada anugerah atau bukan, Pyanhabib tetap mencari dan meneruskan kehidupan seadanya. Pyanhabib adalah seniman yang menjadi seniman bukan kerana anugerah.

Kuala Lumpur dan Malaysia tentunya mengenal Pyanhabib yang polos bersuara. Lu fikirlah sendiri!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS