Memilih tarikh 14 Ogos untuk menikahi pilihan hatinya, Aizat Amdan berkata, wanita yang bakal menjadi isteri itu memang istimewa dan diibaratkan seperti kopi yang menyegarkan rasa mengantuk.
Kata Aizat, dia yakin Elyssa Alia Ilias adalah pilihan yang tepat kerana antara lain dia terpikat dengan personaliti wanita yang juga pengurusnya itu.
Menurut Aizat, setiap kali dia berada di sisi Elyssa, 34, semacam ada aura luar biasa hadir di situ.
“Saya benar-benar sukakan 'tenaga' dibawa Elyssa. Dia macam kopi yang membuatkan mata terus nak berjaga,” katanya.
Tambah pemilik nama penuh Muhammad Aizat Amdan itu, Elyssa juga banyak mengubah karakternya yang dulu pemalu untuk menjadi lebih yakin.
Keyakinan yang terhasil itu jugalah, kata Aizat, menjadi pendorong untuk dia melamar.
“Selama tiga tahun berkenalan, kami tak pernah berbincang soal perkahwinan secara serius tapi tiba-tiba satu hari kami berbual mengenai masa depan hubungan kami.
“Dia juga banyak buka hati saya untuk berkongsi perkara peribadi sebab sebelum ni saya bukan jenis yang suka berkongsi hal peribadi,” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaru, Hanya Kita Dua, di Petaling Jaya hari ini.
Tuju buat bakal isteri
Untuk rekod, Aizat menghantar rombongan merisik ke rumah Elyssa pada 12 Feb lalu.
Bercerita mengenai hari istimewanya, Aizat berkata, majlis pernikahan mereka akan berlangsung di Puchong, Selangor.
“Insya-Allah doakan perancangan kami untuk bergelar suami dan isteri berjalan lancar.
“Saya memilih tarikh 14 Ogos kerana sebulan selepas tu ialah hari jadi Elyssa.
“Maksudnya, sewaktu sambutan hari lahirnya nanti, dia sudah berstatus isteri kepada saya,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai Hanya Kita Dua, Aizat memberitahu lagu itu merupakan kesinambungan single terdahulu, Sampai Ke Hari Tua, dan ciptaan Mel Ramlan itu didedikasikan untuk Elyssa.
“Apabila lagu Sampai Ke Hari Tua mendapat sambutan hangat daripada peminat, saya terfikir untuk membuat satu lagi lagu baru yang lebih rancak.
“Lagu ni memang bertemakan perkahwinan dan saya ambil kesempatan untuk mendedikasikan lagu ni kepada bakal isteri sempena majlis perkahwinan saya nanti,” jelasnya.