Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Chef Anis Nabilah teringin jamu Ratu Elizabeth II masakan Melayu
Diterbitkan:  Jul 29, 2022 3:23 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Cef selebriti Anis Nabilah mengakui menyimpan hasrat untuk memasak masakan Melayu buat santapan Ratu Elizabeth II menggunakan dapur Istana Buckingham.

Katanya, ia menjadi satu cabaran besar buatnya memandangkan, Ratu Elizabeth tidak menggemari masakan yang mempunyai bawang putih.

Menurut Anis, bawang putih adalah bahan kegemarannya dalam masakan.

“Saya rasa kalau diberi peluang untuk masak kepada seseorang, saya mahu masak buat Ratu Elizabeth.

“Kalau perlu masak, saya mungkin akan masak makanan Melayu yang tidak ada bawang putih. Mungkin saya akan memasak rendang, masak lemak atau asam laksa,” katanya.

Kredibiliti cef selebriti Anis Nabilah tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dia bukan saja berjaya dalam negara, malah mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa melalui kepakarannya dalam bidang kulinari.

Pengalaman selama 14 tahun dalam bidang itu meletakkan Anis Nabilah di kelas tersendiri selain mampu menempatkan dirinya sebaris dengan kebanyakan cef terkenal dalam dan luar negara.

Jika April lalu Anis Nabilah, atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin dinobatkan Asean's Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022, terbaru,cef itu sekali lagi diiktiraf di luar negara apabila memenangi dua anugerah di The Gourmand Awards: World Cookbook Awards 2021, Umea, Sweden.

Anis berkata, dia bersyukur dan sama sekali tidak menjangka dirinya berpeluang menerima dua anugerah pada acara berprestij berkenaan.

“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan memang tidak menyangka langsung. Sebenarnya saya tahu yang saya dicalonkan untuk satu kategori iaitu Books by Celebrity Chef untuk buku resipi saya, iaitu Comfort Food by Anis Nabilah for Thermomix.

“Saya bersyukur apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kategori itu.

“Pada masa yang sama, saya dimaklumkan tentang satu lagi kemenangan dalam kategori Best Food Show di Asia Tenggara. Saya sangat terkejut dan bersyukur. Sampai sekarang pun, saya masih mencuba untuk menerima kemenangan ini.

“Apa pun saya masih macam tidak percaya sebab saya sepertinya tidak menghantar apa-apa penyertaan untuk pencalonan tersebut. Tiba-tiba saja mereka anugerahkan kemenangan itu kepada saya. Saya benar-benar sangat bersyukur, Alhamdulillah,” katanya.

Bercakap soal kariernya dengan lebih lanjut, Anis berkata, dia mempunyai perancangan yang besar dalam kerjaya yang diceburinya itu.

Kejayaan yang dicapai itu sekali gus membuatkan Anis semakin berkobar-kobar untuk menghasilkan buku resipi masakan baru.

“Saya berminat untuk menulis buku masakan baru dan kalau boleh saya idamkan untuk menerbitkan program masakan saya sendiri.

“Saya juga bercadang untuk keluar mengembara dan belajar lebih banyak perkara berkaitan bidang kulinari. Pada masa sekarang, saya ingin belajar masakan tradisional Jepun atau Korea.

“Pada masa sama, saya juga berharap saya boleh mengajar orang di luar negara cara-cara masakan Malaysia,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS