Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adi Putra letak 'mahar' tinggi demi kebajikan penggiat industri

Ada sebab mengapa Adi Putra menetapkan 'mahar' yang tinggi untuk setiap kemunculannya di layar lebar dan ia bukanlah semata-mata untuk dirinya.

Sebaliknya kata pelakon terkenal itu, ia juga adalah demi kemaslahatan kru perfileman secara menyeluruh.

Menurut pelakon berasal dari Singapura itu, dia meletak harga agar secara tidak langsung boleh menguntungkan industri terutamanya dalam meningkatkan kadar gaji artis veteran dan kru.

“Saya sentiasa (letak harga) mahal. Bukan apa, saya meletak kadar bayaran tinggi kerana saya fikir, nilai macam tu bukan untuk diri sendiri saja.

“Kita sedia maklum bagaimana kadar bayaran untuk seniman dan seniwati serta kru produksi macam mana. Jadi mengapa tidak 'maharnya' ditingkatkan?” jelasnya.

Kata pemilik nama penuh Mohamed Hadi Putera Halim itu, tidak salah untuk seseorang pelakon berpengalaman meletak kadar bayaran tinggi bagi persembahan yang diberikan.

Hal itu, katanya, memang wajar sekiranya ia berpatutan dengan mutu kerja yang dihasilkan.

“Saya pernah terpalit kontroversi suatu ketika dulu kerana dikatakan seorang pelakon yang demand (menuntut kadar bayaran tinggi). Namun secara peribadi, demand itu penting.

“Perlu demand bayaran sebab kita tahu apa kita mahu. Jika asyik tarik tali, tak ada demand, bermaksud kita masih terkapar-kapar dalam lautan (tidak tahu mutu lakonan sendiri).

“Kita mahal sebab komitmen diberikan, kerja keras siang dan malam. Terutama untuk pelakon yang sudah lama bekerja ada value added (nilai tambahan). Mahal bukan satu stigma,” tuturnya.

Tergelak saksi aksi spontan

Adi Putra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Jerangkung Dalam Almari, di di Petaling Jaya malam tadi.

Filem mendapat arahan Shadan Hashim itu berkisahkan tiga adik-beradik yang membiarkan syaitan bermaharajalela dalam dada mereka sehingga berdendam dan berprasangka sesama sendiri.

Selain Adi Putra, filem itu turut dijayakan Sophia Albarakbah, Hasnul Rahmat, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Isaac Iman, Zaidi Omar, Amerul Affendi dan Fazlina Ahmad Daud. Ia dijadual menjengah pawagam pada 4 Ogos ini.

Untuk rekod, Adi Putra, 41, sebelum ini dihimpit kontroversi kerana meletak bayaran tinggi. Pelakon KL Gangster itu bagaimanapun mengakui terkilan dituduh mementingkan diri sebaliknya mendakwa dia sekadar ingin membantu rakyat yang susah menggunakan duit gajinya itu.

Mengulas Jerangkung Dalam Almari, Adi Putra berkata, walaupun filem itu memaparkan genre seram, ada beberapa babak lucu tercetus hasil daripada lakonan spontannya bersama Hasnul.

Menurutnya, apabila menonton filem berkenaan semasa sesi pratonton, dia tidak menyangka lakonan spontan itu membuahkan hasil yang tidak dijangka.

“Ada geli-geli di perut yang bercampur baur sebab anggapan kita kalau tonton filem seram, sepatutnya jadi seramlah. Perubahan babak bersama Hasnul tu memang berlaku secara spontan.

“Dan pengarah 'membeli' selepas kami 'menjualnya'. Kami pun tergelak sendiri bila melihat aksi dalam babak kakak dirasuk.

“Sepatutnya kami berusaha menenangkan keadaan, tapi boleh pula berlaku pergaduhan tak semena-mena,” ujarnya berseloroh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS