Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Ranveer Singh didenda lepas 'belanja' gambar bogel
Diterbitkan:  Jul 27, 2022 6:09 PM
Dikemaskini: 10:09 AM

Aktor terkenal Bollywood, Ranveer Singh, didenda polis Mumbai gara-gara tampil berbogel untuk menghiasi majalah terbitan AS, Paper, baru-baru ini.

Dia dikenakan hukuman tersebut selepas berkongsi gambar tersebut melalui Instagram buat tatapan peminat.

Menurut kenyataan dikeluarkan polis, tindakan itu diambil selepas seorang peguam yang berpangkalan di Mumbai dan sebuah NGO membuat aduan kepada polis pada 25 Julai lalu.

“Tujuan aktor terbabit untuk mendapatkan wang besar mengakibatkan dia mendatangkan pengaruh buruk kepada kanak-kanak dan masyarakat secara menyeluruh.

“Tindakan itu juga cuba mencemarkan kesopanan wanita,” kata pegawai polis Mumbai yang dipetik Indian Express.

Terdahulu, pemilik nama penuh Ranveer Singh Bhavnani itu mempamerkan susuk tubuhnya yang kekar dalam beberapa siri imej melalui Instagram.

Suami aktres Bollywood terkenal, Deepika Padukone, itu bergaya bersama seluar dalam berwarna hitam. Dia terlebih dulu berkata, pemotretan itu sudah mendapat izin Deepika.

Namun, dua daripada gambar dikongsikan pelakon Gully Boy itu memaparkannya tubuhnya tanpa seurat benang sambil berbaring di atas permaidani dengan bahagian punggung yang terdedah.

Sejak dulu, Ranveer terkenal kerana berani tampil berbeza dalam fesyen. Aktor itu juga pernah berbogel dalam filem Befikre pada 2016.

Katanya, dia tiada masalah untuk berbogel kerana mengakui dirinya besharam (terbuka dan jujur mengenai perkara yang mungkin memalukan orang lain).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS