Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Satria Dewa: Gatotkaca bakal gegar pawagam tempatan 18 Ogos
Diterbitkan:  Jul 26, 2022 8:11 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Melihat sambutan memberangsangkan penonton di Indonesia, penerbit filem Satria Dewa: Gatotkaca yakin naskhah tersebut juga akan diterima baik rakyat di negara ini.

Pengarah Urusan Horizon Film Entertainment, Mohd Shahir Sulaiman berkata, filem adiwira yang diinspirasi daripada kisah legenda itu bakal menjengah pawagam tempatan pada 18 Ogos ini.

“Filem diangkat daripada siri kisah Gatotkaca adalah karya segar yang merupakan legenda adiwira di Indonesia. Malah, filem ini juga berbeza terutama dari segi jalan cerita serta lakon layarnya.

“Selepas menerima sambutan baik di Indonesia dan saya yakin, peminat filem tempatan terutama mereka yang gemarkan filem adiwira serta aksi pasti tidak sabar menonton Satria Dewa: Gatotkaca,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Satria Dewa: Gatotkaca yang diterbitkan Satria Dewa Studio berkisarkan Yuda mencari pembunuh bersiri yang telah mengambil nyawa ibunya sendiri, Arimbi dengan bantuan rakan-rakannya.

Dalam pencarian tersebut, Yuda mula sedar dirinya mempunyai kuasa luar biasa dan menggunakan kelebihan itu untuk melindungi orang-orang yang tersayang serta mencari dalang pembunuhan bersiri itu.

Malah, menurutnya, salah seorang pelakon Gatotkaca adalah Yayan Ruhian yang memang sudah mencipta nama di Hollywood.

“Saya yakin naskhah Satria Dewa: Gatotkaca ditunggu-tunggu oleh semua,” katanya.

Selain Yayan, Satria Dewa: Gatotkaca juga dibarisi pelakon handalan antaranya Rizky Nazar, Yasmin Napper, Fedi Nuril dan Ali Fikry.

Tidak hanya di Malaysia, Satria Dewa: Gatotkaca juga bakal ditayangkan di Amerika Utara apabila Well Go USA bertanggungjawab mengedarkan filem berkenaan di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS